MMA bimbang kes keracunan makanan babitkan kanak-kanak meningkat


  • Massa
  • Ahad, 28 Jul 2024

Kes keracunan makanan membabitkan kanak-kanak di Malaysia yang semakin menjadi kebimbangan ramai. — Gambar hiasan

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) meluahkan kebimbangannya terhadap peningkatan kes keracunan terutamanya banyak membabitkan kanak-kanak di Malaysia.

Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, perkara itu jelas menunjukkan sikap tidak peka dengan penjagaan dan kebersihan dalam pengendalian makanan.

Dr Azizan berkata, berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak kira-kira 14,293 kes keracunan makanan berpunca daripada penyakit bawaan makanan dan air direkodkan di Malaysia pada 2022.

BACA LAGI: [VIDEO] Paris 'blackout' lepas sehari jadi tuan rumah Sukan Olimpik

BACA LAGI: 'Terimalah nasihat, cuba perbaiki', peniaga buka meja tepi simpang di Sentul KL ancam bahaya pengguna jalan raya

5851399780226413605

Kes keracunan makanan dilaporkan semakin meningkat pada 2023. — Gambar hiasan

Beliau berkata, kes tersebut bagaimanapun semakin meningkat selepas pandemik Covid-19 dengan 51 kes direkodkan setiap 100,000 orang di negara ini pada 2023.

"Ini adalah lebih daripada dua kali ganda kadar 18.4 insiden pada 2021. Satu bidang yang paling kami bimbangi ialah pengendalian makanan di negara ini.

"Oleh itu, piawaian kebersihan makanan, khususnya di kedai makanan jalanan, perlu dipertingkatkan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, kebanyakan premis makanan disediakan dalam keadaan tidak bersih dan ada yang beroperasi secara haram.

Beliau turut meluahkan kekecewaannya terhadap tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan rakyat tempatan.

"Adakalanya, sebuah restoran ditutup oleh pihak berkuasa dan pemiliknya dikenakan denda. Tetapi kita tidak nampak peningkatan. Semua orang menutup sebelah mata dan meneruskan.

"Semua pengusaha makanan mesti dididik dengan betul berkenaan piawaian kebersihan makanan, manakala premis pula perlu diperiksa secara berkala oleh pihak berkuasa," jelasnya.

Pada masa sama, Dr Azizan menyeru pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar memberi keutamaan kepada isu tersebut kerana ia boleh merisikokan nyawa seseorang.

Katanya, melalui pendigitalan, kementerian juga perlu memantau dan menghantar notis kepada penjual makanan dan minuman berhubung status vaksinasi tifoid.

"Kami menggesa kerajaan mengaudit semua vaksin tifoid yang diberikan kepada pengendali makanan kerana terdapat vaksin tidak berdaftar di pasaran digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram