MMA bantah sumbangan syarikat arak buat sekolah


  • Massa
  • Khamis, 25 Jul 2024

Isu tersebut timbul selepas salah sebuah syarikat arak menjadi salah satu penaja acara pengumpulan dana yang diadakan oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK C) Tche Min di Sungai Pelek, Sepang, pada 21 Julai lalu.

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) membantah sekeras-kerasnya keputusan beberapa sekolah yang menerima sumbangan derma dari syarikat arak.

Presidennya Dr Azizan Abdul Aziz menyifatkan tindakan tersebut seolah-olah menghantar isyarat berbahaya kepada masyarakat khususnya golongan belia dan menjejaskan usaha gaya hidup sihat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, beliau menegaskan perlu ada garis panduan yang jelas dalam hal menerima sumbangan ini, walaupun ada keperluan mendesak di beberapa sekolah yang memerlukan sokongan tambahan.

BACA LAGI: Sijil ISO, siap Ketua Menteri mohon maaf, 3 isu hangatkan kempen PRK Sungai Bakap

BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan

WhatsApp Image 2024-07-25 at 7.27.26 PM

Gambar yang tular di media sosial yang mencetuskan kontroversi. — Agensi

“Kerajaan perlu memastikan kedua-dua sekolah kebangsaan dan vernakular mendapat sokongan yang baik dengan pembiayaan yang mencukupi," katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan pelaburan dalam pendidikan dan bakat seharus menjadi keutamaan negara.

Menerusi kenyataan itu juga, beliau menzahirkan rasa kecewa berikutan banyak sekolah yang masih kekurangan dana sehingga terpaksa bergantung pada sumbangan dari sektor swasta.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan bahawa mereka akan menyiasat perkara tersebut sebagai respons terhadap isu itu.

Terdahulu, salah sebuah syarikat arak menjadi penaja acara pengumpulan dana yang diadakan oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK C) Tche Min di Sungai Pelek, Sepang, pada 21 Julai lalu.

Acara tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu, Bersama Exco Selangor, Ng Suee Lim dan ADUN Sungai Pelek, Lwi Kian Keong.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, mengutuk pihak pembangkang khususnya PAS Selangor, atas tuduhan mereka memutar belitkan fakta bagi tujuan memanipulasi emosi masyarakat Melayu.

Justeru, Aiman membuat permohonan maaf setelah mendapat kritikan berhubung gambar yang memaparkan replika cek dengan logo syarikat bir tersebut dan menegaskan sebagai seorang pemimpin perlu bersikap prihatin dalam menjaga kebajikan masyarakat lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram