
KEWUJUDAN tarikan pelancong baharu serta pembukaan kafe 'hipster' dan francais di Pahang telah mendorong kepada kenaikan harga makanan, kata penduduk.
Pengusaha inap desa Blue Cabins di Cameron Highlands, Tengku Zulfadzil Tengku Mohamed Ariffin berkata, kehadiran tarikan baharu yang dibuka di kawasan itu seperti taman bunga dan Hobbitoon Village menarik lebih ramai pelancong dan ia mustahil untuk tidak menaikkan harga makanan.
Dia berkata, kenaikan harga makanan di kawasan itu menjejaskan makanan lain terutama yang viral atau tular di media sosial.
“Sebagai contoh, harga nasi lemak dengan hidangan ayam boleh mencecah RM18 sehingga RM19 sepinggan manakala harga makanan ringan yang popular di Cameron seperti scone, kek dan lain-lain juga semakin mahal,” katanya.
BACA LAGI: Kena jaga pemakanan, juadah sedap Aidilfitri menduga duo bintang Selangor Women
BACA LAGI: Komen negatif dan Intan Serah jadi motivasi, bek kiri Tigress ada cara sendiri cipta nama
Tengku Zulfadzil, 50, pengusaha inap desa Blue Cabins.
Menurutnya, ada segelintir penjual yang mengambil kesempatan menaikkan harga sewaktu ramai pengunjung dan ia memberi persepsi buruk kepada Cameron.
"Harga strawberi dan jagung boleh naik dan turun bergantung pada musim dan ia akan menjadi lebih mahal semasa cuti atau hujung minggu, tetapi murah pada hari bekerja," tambahnya.
Tengku Zulfadzil berkata, bukan sahaja harga makanan meningkat, malah kos keperluan asas lain termasuk pengangkutan, tarif elektrik, air, cukai, dan sewa juga menyaksikan kenaikan.
Pemilik inap desa berusia 50 tahun itu berkata faktor tersebut disebabkan oleh permintaan melebihi penawaran.
"Kami tidak makan di luar untuk mengelak daripada berbelanja banyak untuk makanan," katanya.
Trend ini tidak terhad di Cameron Highlands, kerana penduduk di Raub turut merasai kesan kenaikan harga makanan.
Azatul Afzan Mat Dui, 32, pembantu tadbir.
Azatul Afzan Mat Dui, yang tinggal dan bekerja di Raub, Pahang berkata, sukar untuk menemui hidangan makan tengah hari dengan harga berpatutan di bawah RM10 di kawasan itu.
“Saya selalunya pergi ke gerai makan untuk makan tengah hari kerana di situ sahaja saya boleh mendapatkan makanan yang harganya tidak sampai RM10.
“Di gerai sarapan yang biasa saya kunjungi, harga sebungkus nasi lemak naik RM1 iaitu daripada RM1.50 kepada RM2.50,” kata pembantu tadbir berusia 32 tahun itu.
Dia menambah bahawa sepinggan nasi ayam gepuk (ayam goreng dan nasi) berharga kira-kira RM8.
"Saya rasa untuk hidangan ini, harganya sama dengan gerai di Kuala Lumpur," katanya.
Sementara itu, bagi pencinta kopi, Normasaidatul Fasihah Mohd berkata, dia menyedari harga kopi di kafe di Bentong juga semakin mahal berikutan kehadiran beberapa kedai kafe baharu.
Normasaidatul Fasihah Mohd, 33, pengurus dokumen.
“Saya rasa harga mula meningkat selepas Covid-19. Ketika itu saya boleh mendapatkan secawan kopi latte ais pada harga RM7, tetapi kini yang paling murah sekitar RM9," katanya.
Dia menambah bahawa banyak kafe francais dan kedai serbaneka juga telah dibuka di kawasan itu seperti Bask Bear, Richiamo Coffee da Family Mart
Tambahnya, harga makanan barat yang dijual di kafe biasanya melebihi RM12.
“Kami sebelum ini boleh mendapatkannya pada harga kira-kira RM10. Malah hidangan seperti nasi ayam hanya berharga antara RM7 dan RM10," katanya.
Normasaidatul Fasihah berkata, kenaikan harga itu telah menjejaskan perbelanjaan hariannya untuk makanan.
“Kini saya perlu bijak memilih dan meletakkan bajet RM10 hingga RM20 sehari untuk makanan," katanya.
Penjaja dan pemilik medan selera Layan Koner di Raub, Ahmad Sabri berdepan cabaran untuk menjual makanan pada arga rendah apabila terpaksa bersaing dengan penjual makanan lain dan kos bahan mentah yang tinggi.
"Harga makanan mentah di pekan kecil seperti Raub juga lebih mahal berbanding di bandar yang lebih mudah diakses," katanya.
Dia berkata, barangan termurah di gerai makannya ialah nasi lemak pada harga RM3, manakala yang paling mahal ialah 'shellout' (makanan laut campuran) pada RM35.— The Star/DIYANA PFORDTEN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram