Bekalan air dijangka 90% pulih pada Khamis — Air Selangor


  • Primer
  • Rabu, 24 Jul 2024

Air Selangor sedang berusaha untuk memastikan gangguan bekalan air di tujuh daerah di Selangor dan Kuala Lumpur selesai pada Jumaat.

GANGGUAN bekalan air melibatkan jutaan pengguna di tujuh daerah di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka selesai selewat-lewatnya pada Jumaat ini.

Ini selepas peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas sudah mencapai lebih 14.3 peratus setakat pukul 9:00 pagi Rabu (24 Julai).

Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan 90 peratus kerja-kerja pemulihan bekalan air itu dijangka siap pada pukul 8:00 malam Khamis (25 Julai).

BACA LAGI: Feri ikonik Pulau Kapas tenggelam di Butterworth

BACA LAGI: 'Kami lihat ramai orang bawa senjata', pelajar Malaysia ketakutan kongsi keadaan rusuhan Bangladesh

"Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka akan mencapai sekitar 40 peratus pada pukul 8:00 pagi, 25 Julai 2024 (Khamis) diikuti dengan 90% pada pukul 8:00 malam, 25 Julai 2024 (Khamis).

"Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada pukul 8:00 pagi, 26 Julai 2024 (Jumaat).

"Senarai kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual serta jangkaan masa pemulihan penuh adalah seperti berikut," katanya.

Air Selangor telah menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang masih terjejas dan juga mengingatkan agar pengguna tidak perlu bimbang jika bekalan air bertukar warna.

"Jangan bimbang jika bekalan air yang anda mula terima adalah berwarna. Situasi sebegini lazimnya berlaku semasa bekalan air terputus disebabkan oleh gangguan bekalan air berjadual atau tidak berjadual.

"Bekalan air yang disambung semula boleh menyebabkan pemendapan sedimen dalam paip utama yang telah kosong terampai semula. Ini mengakibatkan bekalan air berubah warna.

"Pengguna yang mengalami bekalan air berwarna dinasihatkan supaya membiarkan paip air mengalir selama lima hingga 10 minit sehingga ia kembali jernih sebelum digunakan.

"Jika bekalan air masih berwarna, sila hubungi Air Selangor di 15300 atau 'Help Centre' untuk pemeriksaan dan tindakan susulan kami.

"Air Selangor telah menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang masih terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

"Bantuan bekalan air alternatif menerusi 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram