PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa komited dalam usaha menawarkan masa depan yang lebih cerah kepada anak bangsa menerusi peluang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang.
Dalam masa sama PTPTN juga memikul tanggungjawab besar bagi mengutip bayaran balik pinjaman daripada peminjam supaya generasi seterusnya turut dapat menikmati manfaat sama.
Bagaimanapun, dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi pada masa kini yang menjejaskan banyak pihak, PTPTN sedia cakna akan kesukaran dihadapi segelintir masyarakat Malaysia bagi melunaskan bayaran balik pinjaman.
BACA LAGI: 'Hasrat nak PTPTN mansuh tak tercapai, ada sampai minta kurangkan tunggakan jadi RM150'
BACA LAGI: Potongan gaji bayar PTPTN boleh dibuat secara online
Justeru, PTPTN menyediakan kemudahan berupa penstrukturan semula pinjaman serendah RM300 khusus untuk peminjam PTPTN.
Kempen ini berlangsung selama dua bulan bermula 1 Jun 2024 hingga 31 Julai 2024 dengan matlamat untuk menggalakkan peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan supaya tampil membuat pembayaran tunggakan semula pada nilai serendah RM300.
Norliza berkata ‘Kempen Strukturkan Pinjaman Anda Serendah RM300’ akan memudahkan peminjam PTPTN dalam banyak aspek.
“Peminjam hanya perlu membuat bayaran tunggakan serendah RM300 untuk penstrukturan semula pinjaman dan diwajibkan untuk membuat potongan gaji atau debit terus sebagai kaedah bayaran balik.
“Ini bagi memastikan peminjam dapat membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur,” ujar PTPTN dalam satu kenyataan.
Selain penstrukturan, peminjam juga boleh membuat rundingan bayaran balik yang lain seperti pertukaran ujrah, penggabungan pinjaman dan penjadualan semasa tempoh kempen ini.
Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim menzahirkan harapan supaya kempen yang kali pertama diadakan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh peminjam.
“Kempen ini menawarkan pelbagai manfaat kepada peminjam, antaranya dapat membantu mengurangkan dan seterusnya mencapai sifar tunggakan sekali gus memulihkan rekod kredit peminjam.
“Jangan lepaskan peluang untuk memastikan masa depan yang lebih cerah tanpa tunggakan,” ujar Norliza.
Maklum balas peminjam
Seorang jururawat di pusat hemodialisis, Mohammad Zulfakrul Daliah, 32, berkata kempen yang dilancarkan PTPTN itu banyak memudahkannya untuk lebih berdisiplin membayar pinjaman PTPTN apabila tiba waktunya.
“Macam sebelum ni saya bayar manual pinjaman PTPTN, maksudnya secara bulanan saya akan transfer menggunakan akaun bank. Tapi kalau macam ni saya senang terlepas pandang sebab ada banyak komitmen selain PTPTN, itu yang kerap berlakunya tunggakan.
“Apabila bayaran PTPTN ditolak secara automatik menggunakan debit, saya dah tak perlu pening kepala fikir. Tahu-tahu je dah selesai bayar apabila masuk bulan baharu.
“Seronok tengok apabila nama kita ‘bersih’ dan laporan kredit tidak lagi memaparkan tunggakan hutang,” ujarnya yang merupakan graduan kursus kejururawatan di Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim.
Zulkafrul bersama isteri dan cahaya mata tunggalnya.
Zulkafrul ketika memulakan pengajian mengambil pinjaman PTPTN berjumlah RM60,000.
Dia menamatkan pengajian pada 2013 dan kemudiannya mendapatkan pekerjaan di Kulai, Johor selepas menganggur selama setahun.
“Gaji saya sebulan adalah RM1,300, saya juga perlu menyara keluarga yang menyebabkan sukar untuk saya bayar pinjaman PTPTN secara tetap. Saya selalunya bayar dua kali dalam setahun dengan bayaran berjumlah RM150 hingga RM300.
“Tapi syukur Alhamdulillah apabila saya ditemukan dengan satu hantaran Facebook di laman rasmi PTPTN yang mempromosikan kempen ni. Saya pun terus pergi ke pejabat cawangan PTPTN di Bandar Baru Uda di Johor Bahru untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Staf di sana sangat positif memberikan penerangan kepada saya. Selepas diperiksa, saya masih ada baki pinjaman berjumlah RM30,000. Jadi bermula 1 Julai, saya menerima penolakan auto-debit berjumlah RM298 setiap bulan daripada akaun CIMB,” kata Zulkfarul yang juga merupakan bapa kepada anak berusia 7 tahun.
Menutup bicara, Zulkafrul berkata pinjaman PTPTN banyak membantu kehidupan pada zaman dirinya bergelar pelajar dahulu dan akan sentiasa terhutang budi dengan organisasi itu.
“Kursus saya memakan kos yang agak tinggi seperti nak praktikal di hospital dan sebagainya. Saya juga gunakan pinjaman PTPTN ni untuk menampung tempat tinggal saya di hostel,” ujar Zulkafrul.
Sementara itu, eksekutif akaun, Nur Alleysa Md Isa, 29, dari Shah Alam berkata kempen ini sangat membantu kerana membolehkan peminjam membayar mengikut kemampuan mereka.
“Apabila peminjam sudah membayar RM300 untuk tunggakan, mereka boleh menstruktur semula pembayaran pinjaman, membolehkan mereka merancang komitmen bulanan berdasarkan kemampuan dan melangsaikannya dalam masa yang ditetapkan. Barulah tak serabut fikiran,” ujarnya.
Pelajar IPT wajar mendapat manfaat sama seperti peminjam PTPTN terdahulu.
Nur Alleysa merupakan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan dalam kursus ijazah sarjana muda matematik dan mengambil pinjaman PTPTN sebanyak RM28,000 untuk membiayai perbelanjaan pengajiannya.
“Saya dapat RM3,500 per semester. Selepas ditolak, saya masih ada baki RM2,800 untuk beli buku dan keperluan harian saya yang lain,” jelas Alleysa.
Selepas menamatkan pengajian pada tahun 2018, Alleysa bekerja sebagai eksekutif akaun di Klang, Selangor dengan gaji RM2,800.
“Pada 2019, saya mula bayar RM250 setiap bulan untuk melunaskan pinjaman PTPTN menggunakan JomPAY,” kongsi Alleysa.
Allesya mendapat tahu tentang kempen PTPTN yang ditawarkan menerusi satu video di laman TikTok yang dikongsikan seorang penasihat kewangan pada Jun.
“Saya terus ambil keputusan untuk menstrukturkan semula pinjaman saya kerana cara pembayaran seperti ini adalah lebih mudah.
“Saya mahu selesaikan pinjaman PTPTN saya dengan lebih cepat, jadi saya pilih kaedah penolakan auto-debit daripada akaun Bank Islam saya,” jelasnya.
Menurut Alleysa, dia mula membayar RM300 bermula Julai ini.
“Setakat ini saya dah bayar RM10,000 daripada keseluruhan pinjaman PTPTN saya.
“Saya sangat berpuas hati dengan inisiatif baharu ini kerana ia melancarkan proses untuk menyelesaikan pinjaman,” ujarnya.
Aplikasi myPTPTN
Aplikasi ini menawarkan pilihan untuk seseorang itu menstrukturkan semula pinjaman bagi membantu peminjam menyelesaikan hutang mereka dengan lebih mudah.
Menerusi aplikasi myPTPTN, pengguna boleh memilih untuk melunaskan pembayaran melalui pembayaran auto-debit, memastikan mereka tidak terlepas tarikh akhir dan mengekalkan rekod kredit yang baik.
Aplikasi ini bertujuan mempercepatkan lagi pelan pendigitalan nasional, selain memaklumkan peminjam dengan notis dan pengemaskinian perkhidmatan PTPTN yang terkini.
“Aplikasi ni sangat bagus, kita boleh tengok baki kita yang tertunggak, penyata pinjaman dan boleh buat pembayaran secara terus. Sangat terbuka,” ujar Zulkafrul.
Alleysa pula berkata aplikasi ini mesra pengguna, pantas dan lebih selamat.
“Ia menjimatkan masa dan kos. Dengan aplikasi tersebut, pengguna boleh menggunakan perkhidmatan PTPTN pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” katanya.
Nasihat kepada peminjam
Zulkafrul mengingatkan peminjam PTPTN bahawa hutang itu hukumnya wajib dibayar.
“Alang-alang dah ada promosi PTPTN ni, ayuhlah kita bersama ambil manfaat. Apabila nama kita bersih daripada hutang, barulah senang kalau kita nak buat apa-apa pinjaman untuk kereta atau rumah,” ujar Zulkafrul.
“Penstrukturan semula pinjaman ini menawarkan fleksibiliti kepada peminjam untuk melaraskan pembayaran agar lebih sesuai dengan keadaan kewangan mereka, mengurangkan tanggungan komitmen bulanan dan memudahkan pengurusan kewangan.
“Kita harus sokong kempen ini supaya pinjaman pendidikan dapat terus diberikan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan,” kata Alleysa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram