Kes bunuh Nur Farah Kartini: Suspek dilanjut reman 7 hari


Tempoh reman suspek kes bunuh Nur Farah Kartini disambung tujuh hari.

TEMPOH reman suspek kes pembunuhan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah disambung tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Memetik laporan Berita Harian, perintah reman itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Nurul Mardhiah Mohammed Redza di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor pada Isnin.

Nurul Mardhiah memerintahkan tempoh reman suspek berusia 26 tahun bermula esok sehingga 29 Julai ini.

Sebelum ini, suspek direman selama tujuh hari bermula 16 Julai hingga hari ini (Isnin) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini, 25, ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, kira-kira pukul 6 petang.

Ia susulan penahanan suspek yang juga anggota polis selepas mangsa dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram