Kes bunuh Nur Farah Kartini, polis jumpa kunci kereta, dompet dalam sungai Trolak


  • 112
  • Isnin, 22 Jul 2024

Pasukan penyelam Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik PDRM menemui kunci kereta kurang 100 meter dari jambatan.

ANGGOTA Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Isnin menemukan kunci kereta di Sungai Trolak, Kampung Batu 4, Trolak, Perak ketika usaha pencarian bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah.

Memetik laporan Berita Harian, pasukan penyelam menemui kunci kereta berkenaan kira-kira pukul 11.20 pagi tadi pada jarak kira-kira 50 meter dari jambatan.

Seramai lima penyelam melakukan pencarian pada radius 300 meter dari jambatan di sungai berkenaan yang dipercayai menjadi lokasi suspek membuang barangan milik mangsa.

BACA LAGI: Kes bunuh Nur Farah Kartini: Suspek dilanjut reman 7 hari

BACA LAGI: Bekas Speaker, pemimpin PAS iringi Sanusi hadapi 2 pertuduhan hasut di Mahkamah Shah Alam

Sungai

Pasukan penyelam menemui kunci kereta kira-kira pukul 11.20 pagi.

Antara barangan milik Nur Farah Kartini yang turut dicari difahamkan melibatkan kelengkapan solat, beg duit dan pengecas telefon bimbit.

Terdahulu, tiga kenderaan termasuk dua pikap tiba di lokasi pukul 10.35 pagi Isnin.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan operasi pencarian ditangguhkan sementara selepas mengambil kira paras air sungai yang tidak menentu dan arus deras selepas hujan.

Mayat Nur Farah Kartini, 25, ditemukan di ladang sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor, pada pukul 6 petang Isnin lalu.

Susulan itu, suspek berusia 26 tahun yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada Isnin membenarkan permohonan polis untuk menyambung reman terhadap suspek berkenaan tujuh hari lagi hingga 29 Julai depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek berkenaan sebelum ini direman mulai 16 Julai lepas hingga hari ini (Isnin).

Dalam perkembangan baharu, polis turut menemui dompet dipercayai milik Allahyarhamah di lokasi sama kira-kira pukul 12.20 tengah hari Isnin.

Dompet berkenaan yang terkandung kad pengenalan dipercayai milik mangsa ditemui kira-kira lima meter dari lokasi penemuan sebuah kunci kereta.

Rabu lalu, pasukan sama berjaya menemui beg dipercayai milik Allahyarhamah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram