Kerusi DUN Rembia mungkin dikosongkan jika Umno beri notis kepada Speaker — Penganalisis


  • Politik
  • Ahad, 21 Jul 2024

Pengosongan kerusi DUN Rembia boleh berlaku sekiranya Umno memberikan notis kepada Speaker DUN Melaka memaklumkan mengenai tindakan Muhammad Jailani menyertai parti lain. — Gambar hiasan

PENGANALISIS politik menjangkakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia bakal dikosongkan susulan tindakan penyandangnya, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang menyertai PAS selepas keahliannya bersama Umno digantung.

Pensyarah Sosiologi Politik, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, pengosongan itu boleh berlaku sekiranya Umno memberikan notis kepada Speaker DUN Melaka memaklumkan mengenai tindakan Muhammad Jailani menyertai parti lain.

"Kita boleh jangkakan, jika perkara ini dibawa oleh Umno kepada Speaker, memang dalam konteks di Melaka ini jelas calon itu telah melompat parti, dia bukannya dipecat.

"Kalau dipecat dia boleh kekalkan kerusinya, tapi untuk kes yang ini dia sertai parti lain," katanya kepada Majoriti.

Sivamurugan bagaimanapun berpandangan, keputusan pengosongan itu turut bergantung terhadap fakta sama ada penyertaan Muhammad Jailani ke dalam PAS itu dilakukan sebelum atau selepas pewartaan Akta Anti Lompat Parti di Melaka.

Pada Selasa lalu, Muhammad Jailani yang juga ADUN Rembia dilaporkan secara rasmi menyertai PAS.

2813231

ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kemasukan Muhammad Jailani yang juga wakil rakyat Umno itu diterima pada 10 Jun 2023.

Untuk rekod, Muhamad Jailani menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan beliau merupakan antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong Barisan Nasional (BN) bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.

Beliau dilaporkan dipecat PKR sebelum mengumumkan menyertai Umno bagi membolehkannya dipilih bertanding semula mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung 20 November 2021.

Muhamad Jailani kemudiannya menimbulkan masalah selepas dilapor hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Beliau mempertahan tindakannya dengan menegaskan kehadiran di majlis itu bukan atas kapasiti sebagai ADUN Umno, sebaliknya mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) yang diterajui bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.

Pada PRU15, beliau turut menyertai perarakan pada proses penamaan calon PAS Parlimen Ketereh di Kelantan.

Ekoran itu, Lembaga Disiplin Umno pada September lalu, mengesyorkan keahlian Muhammad Jailani digantung selama enam tahun.

Mengulas mengenai tindakan Muhammad Jailani yang mengisytihar menyertai PAS, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof, pada Jumaat berkata, Umno sedang meneliti tindakan boleh dilakukan termasuk daripada sudut perlembagaan Umno dan juga kerajaan negeri.

2810762

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Melaka juga akan mengkaji kenyataan dibuat ADUN Rembia itu termasuk dakwaan beliau sudah mengisytiharkan dirinya menyertai parti PAS pada Jun tahun lalu.

Ujarnya, penelitian itu termasuk semakan sama ada tindakan Muhammad Jailani menyertai PAS terkait dengan Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan pada Persidangan DUN Melaka pada 31 Julai tahun lepas.

Ab Rauf berkata, Umno masih belum menerima surat daripada ADUN Rembia itu yang menyatakan telah memilih PAS.

Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum berkata, pihaknya masih menunggu surat rasmi daripada PAS berhubung Muhamad Jailani yang dilaporkan sudah menyertai parti itu.

Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, adalah terlalu awal untuk menjangkakan pihak yang bakal mendapat keuntungan sekiranya pilihan raya kecil (PRK) diadakan dengan pengosongan kerusi tersebut.

"Kerusi itu dimenangi Umno dan dengan kekuatan menjadi kerajaan di peringkat negeri dan pusat, ia sepatutnya memberikan kelebihan kepada Umno. Itu di atas kertas. Tetapi di dalam PRK pelbagai kemungkinan boleh berlaku," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram