AirAsia menaik taraf operasi tangani isu gangguan IT, proses secara manual


  • Bizz
  • Sabtu, 20 Jul 2024

Orang ramai terpaksa mendaftar masuk secara manual selepas sistem di KLIA tergendala pada Jumaat. — X/ruffleseed

OPERASI penerbangan AirAsia tetap akan diteruskan dengan menggunakan proses secara manual sebagai langkah selamat ketika ini berikutan gangguan teknologi maklumat (IT) global.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu memaklumkan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk memulihkan sistem kawalan berlepasnya (DCS) selepas gangguan tersebut menjejaskan para penumpang seluruh dunia.

"Semua penumpang AirAsia diminta tiba lebih awal di lapangan terbang untuk mengelak kemungkinan kelewatan melakukan daftar masuk manual di kaunter dan menyelesaikan semua formaliti perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA LAGI: KLIA sesak, terjejas gangguan teknikal global

BACA LAGI: ADUN Rembia mahu bongkar taktik buruk Umno di mahkamah

2811110

Kesesakan yang berlaku di kaunter tiket KLIA susulan gangguan tersebut. — X/ruffleseed

AirAsia berkata, pihaknya juga telah menaik taraf operasinya bagi menangani gelombang hujung minggu di lapangan terbang dengan menempatkan lebih 200 kakitangan darat dan hampir 100 sukarelawan serta anggota keselamatan.

"Ia bagi membantu memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan.

"Penumpang yang melakukan perjalanan hari ini (Sabtu) perlu memantau status penerbangan dengan menyemak e-mel dan telefon mudah alih berdaftar mereka atau melayari airasia.com/flightstatus untuk kemas kini penerbangan," katanya.

Sebelum ini, sistem perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat dilaporkan mengalami gangguan teknikal yang turut menjejaskan sistem di beberapa negara lain.

Perkara itu dikongsikan pengguna media sosial dengan mengatakan mereka berdepan masalah yang menyaksikan terjadinya kesesakan di kaunter daftar masuk.

Malah, sistem perkhidmatan pengangkutan awam di KLIA, KLIA Express turut melaporkan penumpang perlu mendapatkan tiket secara manual di kaunter selepas sistem atas talian mereka tergendala. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram