'Tiada provokasi atau ugutan,' bekas isteri Hafidz Roshdi tarik semula laporan kes pukul


Nurul Shuhada menarik semula laporan kes pukul yang difailkan terhadap bekas suaminya pada 6 Julai lalu.

BEKAS isteri kepada pelakon Hafidz RoshdI, Nurul Shuhada Mat Shukri menarik semula laporan kes pukul yang difailkan terhadap bekas suaminya pada 6 Julai lalu.

Memetik laporan TV3, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor menetapkan 2 Ogos depan bagi mendengar semula laporan berhubung penarikan laporan kes selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan merujuk Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor.

Hakim Siti Fatimah Talib bertindak sebagai Majistret menetapkan tarikh baharu itu selepas mempertimbangkan permintaan pihak pendakwaan untuk mendapatkan tempoh lanjutan selama dua minggu bagi mendapatkan kenyataan tambahan daripada Nurul Shuhada berhubung penarikan kes.

BACA LAGI: '14 tahun pertama jadi cabaran hebat rumah tangga', ramai simpati hubungan Dr Jezamine-Harith Iskander

BACA LAGI: 'Gentle jumpa peguam saya', pelakon Sinetron harap suami segera pulangkan barang kemas ribuan ringgit

WhatsApp Image 2024-07-12 at 1.51.08 PM

Nurul Shuhada (tengah) bersama Humaira (kiri) dan Umar (kanan)

Bagaimanapun, Nurul Shuhada tidak hadir ke mahkamah pada Jumaat untuk perbicaraan dan hanya diwakili peguamnya.

Peguam mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, Nurul Shuhada menarik semula kes dan pihaknya sudah meneliti laporan penarikan yang menyatakan bahawa ia dilakukan secara sukarela tanpa sebarang paksaan.

“Jadi, oleh kerana prosedur pendakwaan perlu pastikan kandungan laporan, mereka akan ambil kenyataan tambahan daripada pengadu. Disebabkan itu perlukan sedikit masa.

“Hakim bersetuju dan bagi tempoh dua minggu. Ini peringkat daerah, jadi akan rujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, mereka akan teliti laporan dan arahkan pegawai penyiasat ambil percakapan untuk lihat ada tak apa-apa bentuk ugutan.

“Jika sudah berpuas hati mereka akan tarik balik,” katanya ditemui di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu selepas perbicaraan kes.

Akberdin turut memaklumkan, Hafidz dan Nurul Shuhada juga sudah menyelesaikan kes berkenaan secara baik.

“Mereka sudah menyelesaikan secara baik, jadi disebabkan itulah, kedua pihak bersetuju untuk selesai masalah mereka secara baik dan Nurul Shuhada juga tarik balik laporan.

“Tiada provokasi atau ugutan, mereka sudah selesai semua isu rumah tangga secara baik. Semuanya sudah selesai. Laporan dibuat Nurul Shuhada adalah ekoran penyelesaian dicapai. Jadi, dia tarik balik kes tanpa paksaan dan dibuat dengan sukarela.

“Kami juga sudah dapat laporan daripada peguamnya. Pada 2 Ogos depan, pihak pendakwaan akan maklumkan kepada mahkamah,” katanya.

Pada masa sama, Akberdin menjelaskan, selepas 2 Ogos depan akan diterangkan semua perkara yang berkait dengan Hafidz.

“Saya rasa tunggu 2 Ogos barulah boleh terangkan semua sekali, biarkan pihak pendakwaan berpuas hati dengan laporan. Apabila sudah diselesaikan dengan baik, barulah kita terangkan sebab kes sekarang masih berjalan,” katanya.

Akberdin turut memaklumkan bahawa Nurul Shuhada tidak hadir pada prosiding kerana keadaannya yang tidak berapa sihat.

"Sebenarnya subpoena tak dikeluarkan sebab hari ini sebutan. Saya dengar dia pun tak berapa sihat. Tapi, kalau dia datang pun, pendakwaan kena buat pengesahan secara bebas dan ada prosedurnya," katanya.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Hafidz dituduh melakukan perbuatan berkenaan berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada pukul 3.22 pagi pada 2 Mac lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Untuk rekod, Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 sebelum memutuskan untuk meleraikan hubungan pada 27 Julai tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata, Humairah, 7, dan Umar, 4. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram