Dua minggu membisu, isteri Taib Mahmud buka mulut jawab tuduhan bawa lari suami dari hospital


  • Primer
  • Ahad, 18 Feb 2024

Raghad (kanan) meminta orang ramai menghormati hak privasi Tun Taib dan keputusan perubatan suaminya seperti yang dimaklumkan. — Instagram

SELEPAS dua minggu 'membisu', Toh Puan Raghad Kurdi Taib akhirnya membuka mulut memperjelaskan situasi yang berlaku apabila beliau dilaporkan 'membawa lari' suaminya, Tun Abdul Taib Mahmud dari hospital pada 4 Februari lalu.

Isteri bekas Ketua Menteri Sarawak itu mengeluarkan satu kenyataan menerusi laman Instagram pada Ahad dengan memberitahu bahawa sebagai isteri, dia tidak akan sekali-kali meletakkan kesihatan suami dalam bahaya.

“Sebagai isteri dan penjaga Tun Taib, saya meletakkan kesihatan dan kesejahteraan suami saya sebagai keutamaan dan tidak akan sekali-kali mengambil tindakan yang boleh menjejaskan proses kesembuhan beliau,” katanya.

Dalam posting tersebut, Raghad berkata, dia tidak melarikan suami dari Hospital Normah, Kuching, Sarawak kerana mendapat kebenaran daripada doktor yang menjaga rawatan Taib ketika itu iaitu Dr. Tan Sian Kong.

BACA LAGI: Tun Taib dalam keadaan baik, terima rawatan di rumah — Polis

"Sudah tiba masanya untuk saya bersuara. Saya tidak mempunyai niat lain selain memberi penjagaan dan perlindungan terbaik untuk suami saya.

"Berikutan kelulusan doktor yang bertanggungjawab, Dr. Tan untuk discaj pada 3 Februari 2024, saya memaklumkan beliau mengenai janji temu berjadual Taib dengan Dr. Rosli di Hospital CVS Kuala Lumpur," kata isteri bekas gabenor Sarawak itu.

Katanya, Dr. Tan meluluskan pelepasan dan menganggap kesihatan suaminya baik untuk perjalanan tersebut.

Surat rujukan Dr. Tan kepada CVS Kuala Lumpur Hospital mengesahkan lagi kesahihan pelepasan dari hospital tersebut (Hospital Normah).

"Semua dokumen pelepasan yang diperlukan mengikut prosedur hospital telah ditandatangani dan semua kakitangan hospital berkaitan mengetahui tentang pelepasan itu," katanya.

raghad taib

Raghad (kiri) menolak dakwaan di laman sosial yang telah menjatuhkan reputasinya baru-baru ini. — Facebook

Selesa di rumahnya sendiri, Raghad menyifatkan suaminya mempunyai sokongan perubatan 24 jam termasuk jururawat dan lawatan doktor berjadual, peralatan yang diperlukan serta ubat-ubatan untuk penjagaan dan pemulihan sementara menunggu kemasukan ke Hospital CVS Kuala Lumpur di bawah jagaan Dr. Rosli.

Pada masa sama, Raghad turut menafikan ada menanggalkan alatan perubatan secara sukarela tanpa memaklumkan kepada kakitangan hospital yang bertugas.

Jelasnya, permintaan untuk mendapatkan bantuan bagi menanggalkan alatan perubatan tidak diendahkan oleh kakitangan hospital walaupun dia berulang kali membuat panggilan bantuan.

"Rawatan yang tidak baik dan nasihat perubatan yang tidak konsisten adalah isu serius yang perlu diteliti dan disiasat oleh pihak hospital," katanya lagi.

BACA LAGI: Saya bimbang, doakan dia — Isteri Taib Mahmud

Tambah Raghad, dakwaan yang dibuat terhadap tindakannya telah menyebabkan kekeliruan dan menjejaskan kehidupan sehariannya.

“Tuduhan palsu terhadap saya menyebabkan tekanan dan kekeliruan. Saya sudah memfailkan laporan polis untuk menyangkal dakwaan tidak berasas ini bagi melindungi privasi dan hak suami (Taib) untuk memilih rawatan perubatannya.

“Kami bersedia sepenuhnya untuk bekerjasama dengan polis dalam sebarang siasatan dan akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Hospital Normah jika perlu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Raghad meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan tuduhan dan dakwaan yang mengelirukan.

“Saya menggesa orang ramai untuk mengendahkan laporan yang mengelirukan dan menghormati hak privasi Tun Taib dan keputusan perubatan seperti yang dimaklumkan.

“Keluarga saya akan tetap teguh dan bersatu dalam masa yang sukar ini.

“Kami memohon doa orang ramai untuk kesihatan dan kesejahteraan suami,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram