KES haiwan liar khususnya gajah yang mengganggu penduduk setempat dilihat semakin menjadi-jadi, yang mana kekacauan itu bukan sahaja merosakkan harta benda, malah nyawa manusia turut menjadi taruhan.
Awal tahun ini, Majoriti melaporkan, seekor gajah dilihat mengintai dan mencuri makanan dari tingkap dapur sebuah rumah di Gua Musang, Kelantan, seterusnya mendatangkan ketakutan pada tuan rumah.
Pada 11 Januari lalu, tular sebuah video di media sosial memaparkan seekor gajah bersama anaknya sedang mencerobohi sebuah rumah di Kluang, Johor.
Tangkap layar video seekor gajah dan anaknya ketika mencerobohi sebuah rumah di Kluang.
Pencerobohan itu mengakibatkan pagar salah sebuah rumah di kawasan tersebut rosak, berikutan dirempuh mamalia terbabit.
Pada 9 Januari, seorang kanak-kanak dilaporkan maut akibat dipijak gajah dalam kejadian di Sinderut, dekat Lipis, Pahang.
Remaja Orang Asli yang maut akibat dipijak gajah di Pos Senderut, Lipis. — PDRM
Mangsa, Andy Yok Manin, 15 diserang gajah berkenaan ketika berada di dalam kebun durian bersama ahli keluarga.
Kejadian sama turut berlaku di Kampung Simoi Baru, dekat Pos Betau, Lipis pada 6 Disember lalu, apabila seorang wanita Orang Asli maut akibat dipijak haiwan tersebut.
Shariffa Sabrina
Tampil mengulas, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, gajah memerlukan habitat seperti hutan yang mempunyai permukaan rata dan mendatar, bukannya hutan berbukit-bukau.
Namun, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) itu berkata, hutan yang mempunyai permukaan rata sukar ditemui di kebanyakan tempat di Malaysia.
"Sebab hutan mendatar banyak di Johor, tetapi Johor pula tidak banyak gunung-ganang seperti di Pahang. Gajah-gajah yang berkeliaran akan lalu di tempat sama dan laluan haiwan itu merupakan hutan yang sudah dibuka (diteroka).
"Jadi, kalau haiwan tersebut lapar, ia akan masuk ke ladang dan rumah orang. Namun, sudah semestinya Orang Asli yang tinggal di hutan akan menjadi sasaran pertama mamalia itu.
"Kalau kita sudah kacau habitatnya, ia mesti akan keluar dan lama-lama ia akan mati sama ada disebabkan kelaparan atau dibunuh," katanya kepada Majoriti.
Aktiviti pembalakan di kawasan tadahan air dekat Kluang pada Februari 2015.
Tambah Shariffa Sabrina, adakalanya ketika Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memindahkan haiwan ke lokasi lebih selamat, haiwan itu berkemungkinan akan mati ketika dalam perjalanan.
Bilangan gajah di negara ini dikhuathiri akan berkurang sama seperti nasib dialami harimau. — Gambar hiasan/Agensi
Melihat perkara itu, beliau khuathir sekiranya spesies sesuatu haiwan di negara ini akan berkurangan dan mengalami kepupusan.
"Kita sudah hilang harimau yang mana jumlahnya tinggal sedikit. Nanti gajah pun akan mengalami nasib sama.
"Sepatutnya kita wartakan Banjaran Titiwangsa sebagai kawasan simpanan kekal dan tak perlu buka untuk lanjutkan proses penebangan kayu balak. Tetapi, siapa yang akan dengar keluhan ini?" soalnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram