MAJLIS Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengambil maklum dan sedang berusaha menambah baik penggunaan lampu hiasan di bawah jejantas di Bandar Saujana Putra (BSP), Selangor yang menimbulkan kekeliruan pengguna jalan raya.
Jurucakap MPKL menjelaskan bahawa tindakan memasang lampu hiasan berwarna-warni itu bertujuan bagi mengindahkan dan menceriakan lagi sekeliling kawasan jejantas tersebut.
Jurucakap itu berkata, pemasangan lampu itu juga kini berada di bawah seliaan dan pemantauan Jabatan Kejuruteraan MPKL.
BACA LAGI: [VIDEO] Empat parah, Bezza dipercayai dilanggar 4x4 sebelum rempuh tiang di HTA
Jejambat yang dilancarkan secara rasmi pada 7 Julai lalu.
"Tujuan pemasangan lampu hiasan tersebut bagi tujuan penceriaan kawasan di bawah jejambat tersebut. Kita maklum aduan daripada awam berkaitan kekeliruan lampu isyarat.
"Pihak MPKL sedang usahakan untuk tambahbaik keadaan untuk membezakan lampu hiasan dan lampu isyarat," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya lagi, pilihan warna itu turut menjadi antara usaha MPKL untuk mengambil hati penduduk yang sering membuat aduan berhubung kelewatan menyiapkan jejambat itu.
"Niatnya nak ambil hati penduduk yang selalu bagi aduan berkenaan flyover tu yang lambat siap.
"Ia antara usaha pihak kita untuk menceriakan flyover dan kawasan sekitar. Tapi mungkin dipandang serong pula oleh warga BSP sendiri," jelasnya.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa pemasangan lampu yang seakan-akan warna lampu isyarat di kawasan itu.
Ia selepas seorang pengguna Twitter (X) @HezeriSamsuri memuat naik gambar memaparkan pencahayaan lampu yang berwarna-warni iaitu merah, biru dan hijau.
Pemilihan lampu itu juga dianggap akan memberi risiko dan membahayakan para pengguna jalan raya lebih-lebih lagi ketika waktu malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram