Tarif elektrik tak naik di Semenanjung, hampir 2 juta pengguna bukan domestik nikmati penurunan surcaj


  • Primer
  • Sabtu, 29 Jun 2024

Tiada kenaikan tarif elektrik bagi tempoh Julai hingga ke Disember 2024 bagi pengguna di Semenanjung Malaysia.

TIADA kenaikan tarif elektrik bagi tempoh Julai hingga ke Disember 2024 bagi pengguna di Semenanjung Malaysia.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan berkata, sebaliknya, kadar surcaj akan diturunkan bagi kategori pengguna bukan domestik yang menyaksikan hampir 2 juta pengguna mendapat manfaat.

Keputusan itu dibuat seperti dipersetujui kerajaan pada 28 Jun supaya tiada kenaikan elektrik dikenakan terhadap semua pengguna di Semenanjung bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2024, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan melindungi pengguna domestik menerusi pelaksanaan subsidi elektrik bersasar.

BACA LAGI : Tarif gas dan elektrik Singapura akan naik bermula Julai

BACA LAGI : [VIDEO] Terapkan model Malaysia, utamakan budaya dan nilai kekeluargaan di SAVe — Anfaal Saari

Bagi pengguna komersial atau bukan domestik, PETRA berkata, mereka akan menikmati penurunan kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) sebanyak 1 sen per kilowatt sejam (kWj) bagi tempoh yang sama.

Berdasarkan semakan, antara pengguna komersial akan menikmati penurunan kadar surcaj itu termasuk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), restoran, sektor pertanian, sektor perindustrian dan operator air dan pembentungan.

"Kerajaan juga bersetuju menurunkan surcaj sebanyak 1 sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tempoh sama.

"Ini supaya PBT dapat menyediakan perkhidmatan pencahayaan menyeluruh di kawasan awam seperti lampu jalan, lampu taman perumahan dan lampu kawasan rekreasi.

"Kerajaan berharap agar penurunan kadar surcaj ICPT kepada kategori ini dapat terus mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran di samping menyokong usaha menggalakkan pelaburan di Malaysia, seterusnya meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negara,” tambah kenyataan itu.

Screenshot 2024-06-29 132155

Secara keseluruhannya, jumlah subsidi elektrik secara bersasar bagi tempoh Julai hingga Disember ini yang akan dibiayai oleh kerajaan sebanyak RM2.192 bilion, kata pihak kementerian.

PETRA percaya pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar merupakan pendekatan yang terbaik pada masa ini supaya dapat mengurangkan komitmen subsidi kerajaan dan peruntukan tersebut akan disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat.

Selain itu, ia membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara.

Kerajaan juga terus kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 bagi pengguna elektrik dalam kategori miskin tegar yang berdaftar dan disahkan dalam sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada 2024 dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

"Walaupun tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh Julai hingga Disember, pengguna disaran untuk sentiasa menggunakan tenaga elektrik secara berhemah dan mengamalkan amalan cekap tenaga.

"Di bawah Program SAVE 4.0, pengguna boleh menerima e-rebat hingga RM400 bagi pembelian peti sejuk dan penyaman udara cekap tenaga yang mendapat penarafan empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST),” menurut kementerian itu.

Menurut kenyataan itu pengguna juga digalakkan untuk menyertai inisiatif pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di bangunan kediaman masing-masing di bawah Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).

PETRA memaklumkan melalui program baharu Skim Insentif Solar Rakyat (SolaRIS), pengguna baharu Program NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada dan selepas 1 April ini akan menerima rebat RM1,000/kwAC hingga maksimum RM4,000.

"Pengguna boleh melihat jumlah subsidi elektrik yang diberikan oleh kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing. Kerajaan berharap pemberian subsidi elektrik ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan memastikan pembangunan ekonomi negara yang berterusan,” menurut kenyataan itu.

Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti berhampiran.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram