Mahkamah benarkan PRK Nenggiri, tolak permohonan Mohd Azizi


Mohd Azizi Abu Naim.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim untuk mendapatkan injunksi sementara bagi menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain selepas memutuskan bahawa Mohd Azizi tidak berdepan kemudaratan sekiranya PRK itu dijalankan kerana beliau masih boleh menyertai pilihan raya berkenaan.

Ujarnya mahkamah tidak boleh menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRK kerana ia menjalankan tugas perlembagaannya.

BACA LAGI: Pesawat ringan mendarat cemas di Pelabuhan Klang ada masalah enjin, 2 juruterbang selamat

BACA LAGI: Gagal elak lori terbabas, wanita alami keguguran dalam nahas 3 kenderaan di JB

Peguam Kanan Persekutuan bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ahmad Hanif yang ditemui media selepas prosiding yang dijalankan dalam kamar berkata, SPR dengan ini boleh mengadakan Mesyuarat Khas PRK DUN Nenggiri yang dijadualkan pada Jumaat.

Beliau berkata, permohonan injunksi penuh akan didengar pada 28 Ogos depan.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 25 Jun lalu, Mohd Azizi selaku plaintif menamakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan SPR selaku defendan.

Menerusinya Mohd Azizi memohon perisytiharan bahawa PRK DUN Nenggiri tidak boleh dijalankan dan dilakukan oleh SPR kerana ia masih disandang olehnya.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahliannya dalam BERSATU melalui notis bertarikh 12 Jun lalu adalah pemecatan yang tidak sah.

Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman itu adalah tidak sah dan batal dan pemecatan jawatannya daripada BERSATU adalah berniat jahat.

Media sebelum ini melaporkan, Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang ADUN dan BERSATU mengenai keahlian Mohd Azizi yang hilang daripada BERSATU.

BERSATU sebelum ini memaklumkan, keahlian Mohd Azizi dihentikan selepas beliau gagal mengisytiharkan kesetiaannya kepada parti dan disebabkan sokongan berterusannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Azizi, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, antara enam Ahli Parlimen BERSATU mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram