[VIDEO] Penonton bakar pentas konsert, bengang artis popular Indonesia tak muncul-muncul sebab tidak dibayar penganjur


  • Hiburan
  • Isnin, 24 Jun 2024

Penonton mengamuk sehingga bakar sistem bunyi di pentas gara-gara artis tidak tampil di sebuah konsert di Banten, Indonesia pada Ahad.

SEBUAH konsert di Lapangan Bola Pasar Kemis, Kabupaten Tangerang, Banten, Indonesia pada Ahad berakhir dalam keadaan huru-hara apabila penonton berang sehingga memutuskan untuk membakar sistem bunyi di pentas konsert berkenaan.

Ketua Polis Pasar Kemis, Penolong Pesuruhjaya Polis Ucu Nuryandi berkata, perkara itu terjadi susulan dua bintang jemputan, NDX AKA dan Guyon Waton membatalkan penampilan mereka di atas pentas.

Mereka tidak mahu beraksi di atas pentas dipercayai kerana pihak penganjur, Lentera Festival gagal membayar dua bintang popular itu mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

BACA LAGI: Teater Najis Jadi Teman mahu penonton 'tersentuh' saksikan kerja proses kumbahan

BACA LAGI: Simpan impian bawa isteri dan anak jejak tanah suci, Tomok rindu suasana beribadah di Makkah

"Ya, jadi ahli jawatankuasa tak bayar artis yang sepatutnya buat persembahan. Acara tidak boleh dilakukan kerana artis tidak muncul," katanya.

Rakaman video di sekitar konsert turut tular di media sosial.

Dalam rakaman itu, dilihat penonton membaling barangan ke atas pentas sehingga ramai merakam detik-detik tragis itu.

"(Penonton kecewa) betul. Yang dibakar itu sistem bunyi, pentas tidak dibakar. Iya (dibakar) oleh para penonton dan sudah merebak ke banyak tempat," katanya.

Menerusi laman Instagram, Lentera Festival turut menyiarkan surat kenyataan yang menunjukkan bahawa mereka mahu menyelesaikan isu itu.

"Kami ingin memaklumkan bahawa kami dapat menyelesaikan kekurangan pentadbiran NDX AKA dan Guyon Waton sebagai penghibur di Lentera Festival pada Ahad malam.

"Jika kami, Lentera Festival, tidak dapat melaksanakan kewajipan ini, maka NDX AKA dan Guyon Waton berhak untuk tidak hadir di Lentera Festival.

“Kami sebagai jawatankuasa Lentera Festival bersedia untuk bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pembatalan persembahan NDX AKA dan Guyon Waton di Pesta Lentera,” tulisnya.

Selepas kekecohan berlaku, Lentera Festival kemudian mendedahkan identiti pelaku yang didakwa membawa lari wang yang sepatutnya digunakan untuk membayar artis yang beraksi pada konsert itu.

"Kami, seluruh jawatankuasa, juga dikhianati oleh orang ini, orang ini melarikan wang ratusan juta!," tulisnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram