SEBUAH persembahan teater amal, Najis Jadi Teman bakal berlangsung di IWK Eco Park @ Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada Sabtu malam.
Melalui teater ini, pihak Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd mahu membuat penonton 'tersentuh' apabila merasai perjalanan petugas- petugas di IWK yang terlibat dalam kerja-kerja melibatkan proses rawatan kumbahan.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, M Narendran berkata, teater tersebut bukan sahaja untuk meraikan tiga dekad perkhidmatan IWK tetapi juga berfungsi sebagai satu cara untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya pengurusan kumbahan yang cekap.
BACA LAGI: IWK respons kontroversi tajuk teater ‘Najis Jadi Teman’, mahu sedarkan masyarakat
BACA LAGI: Pernah terima 'mesej nakal', Atilia tetap bersemangat ajar peminat cilik senaman yoga demi awet muda
Teater Najis Jadi Teman menelusuri perjalanan dan cabaran tentang proses rawatan kumbahan.
“Kebanyakan kerja-kerja kami di IWK beroperasi di belakang tabir dan sering tidak disedari namun amat penting dalam pemeliharaan kesihatan awam dan alam sekitar.
“Dalam kami meraikan ulang tahun ke-30 syarikat, kami teruja untuk menunjukkan komitmen kami terhadap kesejahteraan rakyat secara amnya melalui kolaborasi bermakna dan kreatif seperti teater amal ini,” katanya ketika malam pembukaan teater amal berkenaan di Dewan Merbau, IWK Eco Park.
Lebih unik, persembahan yang dibuat akan menggabungkan tarian, muzik dan produksi untuk meneroka peranan mencabar dan kritikal pekerja loji kumbahan yang sering digambarkan sebagai kotor, sukar dan berbahaya.
Untuk rekod, teater berkenaan merupakan usaha sama dengan Wayang Kitchen dan Yayasan Chow Kit (YCK).
Tetater itu diarahkan oleh pengiat teater terkenal, Razif Hashim yang menampilkan penyanyi, Atilia Haron, pelakon, Phraveen Arikiah dan Alfred Loh sebagai watak utama.
Atilia Haron (tengah) turut membintangi teater Najis Jadi Teman.
Turut menyertai persembahan terdiri bakat-bakat cilik dari YCK iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) tempatan yang berdedikasi untuk menyokong kanak-kanak dan remaja yang berisiko di kawasan Kuala Lumpur.
Berhibur sambil beramal, Ketua Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata, semua hasil jualan tiket teater yang ditayangkan itu akan disalurkan kepada Yayasan Chow Kit (YCK) untuk menguruskan kanak-kanak yang memerlukan.
"YCK merupakan rakan kolaborasi kami yang mendukung untuk hidupkan kisah IWK itu melalui ekspresi kreatif yang membolehkan ia dipentaskan untuk ditonton ramai.
"Kami juga menyantuni masyarakat dalam apa jua bidang atau keadaan," katanya kepada Majoriti.
Tiket dijual platform Cloud Joi sehingga Sabtu dengan harga RM100 setiap satu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram