Malaysia perlu waspada ancaman pencerobohan kuasa besar di perairan negara


  • Massa
  • Isnin, 28 Ogos 2023

China pernah mengganggu kapal-kapal pesisir milik Malaysia yang beroperasi di lapangan minyak dan gas Petronas.

BEBERAPA hari lepas, negara dikejutkan dengan insiden ‘pembulian’ oleh kapal pengawal Pantai China terhadap kapal awam milik Filipina.

Menurut Ketua Pegawai Strategi Pembekal perkhidmatan dron, Meraque Services Sdn Bhd (Meraque), Rahman Hussin, kapal tersebut disewa tentera laut negara Filipina untuk menghantar bekalan makanan kepada anggota di pos kawalan Laut China Selatan.

Katanya, tahun ini sahaja, Filipina telah menunjukkan lapan kes kepada masyarakat dunia tentang insiden yang membabitkan kapal China.

"Pada awal Ogos misalnya, kapal Pengawal Pantai China telah melepaskan tembakan meriam air terhadap kapal yang didaftar di Filipina.

"Selain daripada aset ketenteraan, China juga menghantar kapal militia maritim yang berselindung sebagai kapal nelayan.

"Sebanyak 48 kapal nelayan milik China dilihat di Terumbu Iroquois dan Bting Sabina yang merupakan zon ekonomi eksklusif Filipina," katanya.

Kes sama juga berlaku di wilayah pertikaian apabila Pengawal Pantai China melakukan gangguan berbentuk halangan dan gerakan berbahaya di lokasi yang menjadi titik pertikaian kedua-dua negara tersebut, Second Thomas Shoal.

Rahman berkata, lokasi tersebut merupakan terumbu karang terpencil, menempatkan tentera Filipina yang tinggal di sebuah kapal usang dan terbiar milik Amerika Syarikat.

WhatsApp Image 2023-08-28 at 15.54.14

Rahman berkata, setakat tahun ini sahaja, Filipina telah menunjukkan lapan kes kepada masyarakat dunia tentang insiden yang membabitkan kapal China.

Ujarnya, insiden-insiden seperti itu merupakan isyarat yang jelas kepada pemegang taruh Laut China Selatan bahawa China berlagak seperti ‘abang besar’ di perairan tersebut.

"Dalam satu insiden yang membabitkan Filipina lagi, kapal Pengawal Pantai China telah memancarkan lampu laser gred tentera ke arah salah satu kapal milik Filipina di Laut China Selatan.

"Kemungkinan besar, gangguan China banyak ditumpukan kepada Filipina kerana negara tersebut merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat di Rantau ini," katanya.

Hal tersebut menunjukkan bahawa China agresif khususnya dalam menuntut kedaulatan di Laut China Selatan.

Selain dari menyatakan perkataan ‘China’ dalam nama perairan tersebut sebagai bukti bahawa pemilikan adalah hak mereka, negara itu juga telah secara rasmi mewujudkan Daerah Xisha dan Nansha pada tahun 2020.

Xisha dan Nansha merupakan nama China bagi Kepulauan Paracel dan Spratly yang merupakan Kumpulan pulau dan terumbu karang di Laut China Selatan.

WhatsApp Image 2023-08-28 at 15.56.37

China dikatakan bersifat agresif khususnya dalam menuntut kedaulatan di Laut China Selatan.

Rahman turut menjelaskan, tindakan China itu menunjukkan mereka tidak mengambil peduli dengan tuntutan yang dibuat oleh negara-negara lain yang dianggap kecil oleh mereka.

Tambahnya, dalam konteks negara, Malaysia juga merupakan antara negara yang mempunyai tuntutan kepada Laut China Selatan.

"Dalam bahagian kepulauan Spratly, Malaysia menuntut kawasan yang berada dalam zon ekonomi eksklusif iaitu kawasan laut yang berada 200 batu nautika daripada pantai.

"Setakat ini Malaysia menguasai lima terumbu iaitu Peninjau, Siput, Mantanani, Ubi dan Layang-Layang. Namun demikian, Malaysia seharusnya berwaspada dengan setiap ancaman yang bakal berlaku.

"Malaysia tidak boleh berasa selesa kerana corak ancaman China di perairan Laut China Selatan akan sentiasa berterusan.

"Mungkin hari ini, Filipina menjadi sasaran, siapa tahu kehadapannya, Malaysia akan menjadi mangsa kepada tindakan agresif China," ujarnya.

WhatsApp Image 2023-08-28 at 15.55.40

Filipina mendakwa pengawal pantai China membuat gangguan, halangan dan gerakan berbahaya terhadap kapalnya.

Namun begitu, Malaysia sebenarnya sudah pernah merasai ‘pembulian’ China ini. Tahun 2021 misalnya, Sarawak dan Sabah dikejutkan dengan insiden 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia tanpa kebenaran.

China juga telah mengganggu kapal-kapal pesisir milik Malaysia yang beroperasi di lapangan minyak dan gas Petronas menyebabkan wujud ketakutan terhadap para petugas yang berada di situ.

Malah, insiden pencerobohan kapal pengawal pantai China juga pernah terjadi di Beting Patinggi Ali yang terletak pada kedudukan 84 batu nautika dari pantai Miri.

Ujar Rahman, gugusan batu karang tersebut merupakan zon ekonomi eksklusif Malaysia.

Katanya, kawasan itu tertakluk kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) yang membolehkan sesebuah negara berhak menuntut kawasan yang terletak dalam jarak 200 nautika.

Justeru, pemilikan Malaysia terhadap Beting Patinggi Ali bukanlah kawasan yang boleh dipertikaikan oleh mana-mana negara kerana ia terletak di bawah zon ekonomi eksklusif Malaysia, diiktiraf melalui undang-undang antarabangsa.

WhatsApp Image 2023-08-28 at 15.57.56

Pemilikan Malaysia terhadap Beting Patinggi Ali tidak boleh dipertikaikan mana-mana negara kerana ia terletak di bawah zon ekonomi eksklusif Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tentang langkah yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menangani permasalahan ini.

"Apakah strategi diplomatik yang hendak dijalankan oleh Wisma Putra khususnya bagi memastikan insiden gangguan dan pencerobohan tidak berlaku dalam kawasan perairan negara?

"Persoalan juga timbul, di manakah aset ketenteraan yang seharusnya melindungi kedaulatan negara daripada sebarang ancaman asing khususnya yang berlaku dalam negara?

"Berapa lamakah yang diperlukan untuk mempersiapkan kapal pesisir tempur (LCS) bagi menjadi barisan hadapan mempertahankan sempadan negara? Hal ini kerana, aset Armada Timur TLDM berada pada keadaan kritikal untuk mempertahankan kedaulatan negara," ujarnya.

Beliau menjelaskan, aset yang dimiliki hanyalah flotilla ronda yang tidak dilengkapi dengan keupayaan untuk bertempur.

Sebagai perbandingan, Indonesia membelanjakan sebanyak 4.740 bilion untuk perbelanjaan pertahanan manakala Malaysia hanya membelanjakan sebanyak 1.70 bilion bagi aspek tersebut.

Kata Rahman lagi, hal ini menunjukkan jurang yang besar dan lompong pertahanan yang besar khususnya dalam usaha untuk mempertahankan kedaulatan negara.

"Pencerobohan negara bukan satu perkara yang mustahil, tetapi sejarah merekodkan pencerobohan pernah berlaku dalam negara kita.

"Namun, sekiranya di masa hadapan kuasa besar yang datang menceroboh, apakah persediaan Malaysia ketika itu? Tepuk dada, tanya selera," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram