[VIDEO] Jemaah wanita hilang rupanya 4 hari sesat, jalan kaki 11km dari Mina ke Masjidil Haram sampai kaki merekah


  • Massa
  • Jumaat, 21 Jun 2024

Meriam (tengah) ditemukan dalam keadaan selamat di perkarangan Masjidil Haram, Makkah, Arab Saudi pada Khamis.

JEMAAH wanita yang dilaporkan hilang ketika menunaikan ibadah haji di Mina pada Isnin lalu ditemukan dalam keadaan selamat di Makkah, Arab Saudi pada Khamis.

Wanita warga emas yang bernama Meriam Awang itu dijumpai selepas empat hari ketika mahu melaksanakan ibadah wajib haji iaitu melontar jamrah.

Mutawif Malaysia, Badrul memberitahu bahawa jemaah berasal dari Terengganu itu berjalan kaki dari Mina ke Masjidil Haram, Makkah yang jaraknya kira-kira 11 kilometer (km).

BACA LAGI: Anak jejak ibu hilang lebih 48 jam, terpisah ketika lontar jamrah di Mina

BACA LAGI: Rumah mewah belum tentu jamin privasi golongan T20, lagi-lagi ada jiran jadikan 'homestay'

2758297

Meriam yang hilang selama empat hari ketika menunaikan ibadah haji pada Isnin lalu.

Menurutnya, wanita itu berjalan sendirian sehelai sepinggang malah hanya sempat menjamah kurma dan air zam zam apabila tiba di Makkah.

"Kami jumpa dia di tandas di perkarangan Masjidil Haram seorang diri, tiada duit, dompet, telefon pintar dan beg.

"Dia pun hanya makan kurma dan minum air zam zam, sebab dia kata tiada tenaga dan sangat penat," katanya kepada Majoriti.

Lebih memilukan apabila Badrul memaklumkan, jemaah itu ditemukan dalam keadaan lemah sehingga menampakkan kakinya yang merekah dek berjalan terlalu lama.

"Keadaan makcik lemah dan kaki merekah, tapi masih sihat Alhamdulillah," jelasnya.

Pada masa sama, Badrul turut menzahirkan rasa syukurnya dan berterima kasih kepada orang ramai kerana membantu mereka ketika operasi menjejaki jemaah terbabit.

Dalam pada itu, pencarian Meriam juga dibantu oleh seorang wanita warga Indonesia yang berada di Makkah pada hari keempat sebelum menyerahkannya kepada pihak pengurusan haji Malaysia.

Dalam video yang dimuat naiknya dengan menggunakan nama akaun Umii Gillby, jemaah tersebut ditemani sehingga bertemu dengan mutawif dan ahli keluarganya.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan kehilangan jemaah wanita tersebut yang terpisah dengan anaknya ketika melontar jamrah di Mina.

Jemaah itu juga dikhuatiri sesat dan tidak dapat dihubungi kerana beg dan telefon pintarnya dibawa oleh sahabatnya pada waktu itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram