'Haji koboi' berisiko tinggi meninggal akibat strok haba, jenazah tetap diurus seperti biasa


  • Massa
  • Jumaat, 21 Jun 2024

Strok haba antara faktor utama ramai jemaah haji meninggal dunia ketika ini. — Gambar hiasan/Agensi

KEADAAN cuaca yang terlalu panas di Makkah merupakan faktor utama kebanyakan jemaah haji meninggal dunia ketika menunaikan ibadah tersebut.

Kementerian Luar Negeri, Migrasi, Luar Negara Tunisia sebelum ini berkata, majoriti jemaah yang maut akibat kepanasan ekstrem memasuki Tanah Suci menggunakan visa lawatan atau umrah.

Kerajaan Arab Saudi juga dilaporkan berkata, jemaah yang tidak mempunyai visa haji atau jika di Malaysia lebih dikenali sebagai ‘haji koboi’ terdedah kepada risiko strok haba kerana tidak mempunyai tempat penginapan khas ketika berada di Arafah dan Mina serta terpaksa berjalan jauh.

BACA LAGI: Tiada kos tambahan, sukarelawan guru Singapura ditempatkan di luar bandar dan pedalaman

BACA LAGI: 'Kelantan tiada air tapi sibuk sampai Uganda', kerja kebajikan Azman Ibrahim jadi modal berdebat

msg1050426791-34080

Jamali (gambar kecil) menasihati jemaah haji mengambil kira beberapa perkara sebelum melaksanakan ibadah tersebut tanpa permit. — Gambar hiasan

Bukan itu sahaja, golongan jemaah sedemikian juga berpotensi mendapat risiko tinggi terutamanya apabila berlakunya kes kematian di ketika menunaikan haji.

Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Jamali Mohd Adnan berkata, seseorang yang tidak mempunyai maklumat, ilmu dan pengalaman mencukupi berdepan dengan kesahihan pelaksanaan ibadah haji.

"Bukan itu sahaja, melakukan haji secara ‘koboi’ juga berisiko untuk menguruskan urusan harian seperti tempat penginapan, makanan, minuman, keselamatan harta dan kesihatan diri," katanya kepada Majoriti.

Jamali berkata, penyalahgunaan visa akan melibatkan keselamatan pemegang visa yang tidak diiktiraf untuk melaksanakan haji dan boleh mencemarkan imej negara sekali gus hubungan diplomatik antara kedua negara.

Pengiktirafan permit haji hanya dikeluarkan oleh institusi bertauliah seperti Lembaga Tabung Haji (LTH).

Beliau bagaimanapun berkata, jemaah tanpa permit haji yang meninggal dunia di Makkah hendaklah diuruskan mengikut beberapa keadaan.

"Sekiranya dalam keadaan ihram, jenazah tersebut hendaklah dimandikan seperti biasa tanpa meletakkan wangian seperti kapur barus dan seumpamanya, begitu juga kepala bagi jenazah lelaki dan muka jenazah tidak boleh ditutup.

"Manakala pengurusan bagi jenazah yang tidak berihram, diuruskan seperti mana jenazah biasa.

"Kemudian jenazah mereka disolat dan dikebumikan seperti biasa," katanya lagi.

Jelasnya, tanggungjawab pengurusan jenazah adalah fardu kifayah maka, pihak agensi atau pihak terbabit perlu mengambil peranan tersebut agar segala pengurusan jenazah dapat dijalankan dengan sempurna.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk merancang dan berfikir dengan matang sebelum melaksanakan ibadah haji atau umrah secara kendiri tanpa melalui mana-mana syarikat pengurusan haji. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram