PEGUAM yang menarik diri untuk mewakili ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, Mahmud Abdul Jumaat tampil menyelar kenyataan dimuat naik datuk mangsa berhubung tiada pelantikan peguam secara rasmi oleh keluarga itu terhadapnya.
Mahmud memberi penjelasan selepas lama berdiam diri untuk mengulas tentang keadilan terhadap mangsa yang dibunuh dan diseksa secara kejam.
Menurutnya, dia juga seperti seluruh rakyat Malaysia lain yang menginginkan perkara itu diakhiri dengan adil.
BACA LAGI: Dipercayai untuk lakonkan semula kejadian, ibu bapa Zayn Rayyan dibawa polis ke Blok R
BACA LAGI: Ada beri sebab, peguam Mahmud Jumaat tak lagi wakili ibu bapa Zayn Rayyan bermula Selasa
Kes kematian Zayn Rayyan menjadi topik perbualan hangat orang ramai sehingga hari ini.
Peguam itu pada masa sama meluahkan rasa kecewanya terhadap kenyataan datuk mangsa dan menyifatkan ia sebagai satu provokasi.
"Maaf kepada semua yang menanti penjelasan saya. Saya juga seperti anda semua lebih menginginkan keadilan buat arwah Zayn Rayyan yang dibunuh, diseksa secara kejam.
"Kerana itulah saya agak hairan berkenaan dengan butiran (point) pertama kenyataan media yang dibuat oleh datuk arwah tempoh hari mengenai tiada pelantikan peguam secara rasmi oleh keluarga ke atas saya.
"Perlu ke sampai nak buat kenyataan media? Seolah-olah sengaja melakukan provokasi terhadap saya," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Ibu dan bapa kepada mangsa ditahan bagi membantu siasatan. — The Star
Katanya, tiada isu salah faham daripada pihaknya, media mahupun keluarga bapa mangsa, Zaim berikutan segala-galanya sangat jelas.
"Ini kronologi yang berlaku, kira-kira pukul 11 malam pada 31 Mei lalu, saya dihubungi oleh keluarga bapa Zayn dan dikhabarkan ibu bapa arwah, Zaim dan Isma ditahan pada 1 Jun lepas dan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya, Selangor untuk permohonan reman keesokannya.
"Saya ingin tekankan, ini bukan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi inisiatif keluarga bapa Zayn Rayyan sendiri. Entah dari mana timbul cerita, saya ini dari NGO? Masa bila saya mahu mendapatkan tandatangan surat pelantikan rasmi?" soalnya.
Mahmud bagaimanapun tidak menyangka perkara itu akan menjadi satu isu besar yang dibangkitkan oleh pihak keluarga bapa mangsa.
Jelasnya, tiada kewajipan untuk surat perlantikan peguam secara rasmi bagi kes jenayah.
"Asalkan pihak orang yang disyaki (OYDS) atau wakil keluarganya setuju melantik peguam, ia sudah memadai.
"Apatah lagi sebelum saya masuk ke dalam mahkamah, saya sudah mengesahkan dengan keluarga ibu bapanya sendiri untuk memberikan amanah ini kepada saya bagi bantahan reman," katanya.
Zaim (kiri) dan Isma (kanan) ketika hari kejadian mayat Zayn Rayyan ditemui.
Justeru, Mahmud menegaskan bahawa isu pelantikan rasmi peguam tidak perlu dibincangkan lagi kerana dia sememangnya berada di mahkamah pada hari terbabit dan hanya peguam yang dipanggil oleh keluarga berkenaan.
Ia lebih menimbulkan persoalannya apabila pihaknya dan ahli keluarga Zayn Rayyan sudah berjumpa dan berbincang walaupun pada hari cuti untuk memudahkan urusan kes tersebut.
"Selepas perjumpaan itu, keesokannya saya membuat keputusan untuk tidak mewakili mereka lagi atas sebab-sebab tertentu, seperti kenyataan saya apabila dihubungi oleh rakan media.
"Tiba-tiba saya menerima berita, saya tidak pernah dilantik menjadi peguam ibu bapa Zayn Rayyan. Bagi saya itu fitnah! Saya datang mahkamah tempoh hari untuk apa? Kenapa hubungi saya malam itu untuk datang ke mahkamah?
"Mereka datang ke pejabat saya tempoh hari untuk apa? Bukan itu sahaja, keluarga Zaim terutama ibu Zaim sentiasa menghubungi saya sepanjang tempoh itu. Meminta nasihat dan bertanya pendapat saya sebagai peguam," katanya lagi.
Jelasnya lagi, Mahmud masih mewakili ibu mangsa dan hadir ke mahkamah sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram