Masih suspek bukan tertuduh, peguam buat permohonan kedua jumpa ibu bapa Zayn Rayyan


Fahmi (kiri) mahu berjumpa dengan anak guamnya esok.

PEGUAM kepada ibu bapa kanak-kanak austisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin iaitu Fahmi Abd Moin mahu menghantar permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk bertemu anak guamnya.

Menurut laporan Buletin TV3, permohonan yang dilakukannya untuk kali kedua itu akan dilakukan pada Isnin selepas percubaan pertamanya tidak berjaya.

Percubaan pertama yang dilakukan oleh Fahmi adalah pada minggu lalu dan ia tidak memperoleh sebarang jawapan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung 6 hari lagi

BACA LAGI: Kes Zayn Rayyan: Ada percanggahan keterangan dengan saksi punca polis sambung reman ibu bapa mangsa

Kata Fahmi, dia bukanlah mahu menganggu proses siasatan terhadap anak guamnya yang kini ditahan polis. Sebaliknya, dia mahu memastikan anak guamnya memperoleh hak yang sepatutnya.

"Tujuan kami bukanlah untuk atau ingin menganggu siasatan kami amat menghormati proses siasatan yang dijalankan pihak polis.

"Namun hanya ingin memastikan bahawa anak guam kami diberikan hak mereka ketika dalam tahanan reman di mana mereka masih lagi adalah suspek dan bukan orang yang dituduh.

"Dan pihak kami percaya bahawa akses kepada mereka dalam tahanan reman adalah dibolehkan dari segi undang-undang walaupun ia tertakluk kepada budi bicara pihak polis sendiri," kata Fahmi.

Fahmi berharap yang pihak polis boleh memberikan kebenaran kepadanya untuk bertemu anak guamnya yang masih direman sehingga Rabu.

Pada Sabtu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengatakan terdapat percanggahan antara keterangan diberikan oleh ibu, bapa dan saksi-saksi yang terlibat dalam kes pembunuhan Zayn Rayyan.

Disebabkan itu, tempoh tahanan terhadap ibu bapa kanak-kanak tersebut dilanjutkan sehingga 12 Jun dengan kebenaran diberikan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat minggu lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram