TERDAPAT percanggahan keterangan daripada saksi dan ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin antara faktor polis melanjutkan tempoh penahanan reman terhadap mereka berdua.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar berkata, pihaknya perlu menyiasat daripada semua aspek termasuk kenyataan yang tidak konsisten antara suspek dan saksi.
Hussein berkata, pihaknya juga berusaha untuk melengkapkan siasatan kes pembunuhan itu dalam tempoh enam hari berikutan lanjutan reman ibu bapa mangsa.
BACA LAGI: Tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung 6 hari lagi
BACA LAGI: Zayn Rayyan: Hanya seorang suspek terlibat, letak mayat waktu hujan lebat — Polis
Reman terhadap ibu bapa kepada Zayn Rayyan disambung selama enam hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat.
"Ada perkara yang perlu disemak kembali seperti keterangan yang tidak selari dengan siasatan kami.
"Memandangkan ibu bapa mangsa ditahan reman enam hari lagi, kami akan gunakan masa itu untuk melengkapkan siasatan termasuk keterangan saksi dan bukti fizikal," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, keputusan untuk melakukan tangkapan dan pendakwaan adalah bergantung kepada proses siasatan sepanjang enam hari itu.
"Setakat ini, kita sudah merakam keterangan pengasuh dan dua ahli keluarga. Terlalu awal untuk mengulas lanjut siasatan. Kami akan melengkapkan siasatan dan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.
Bedah siasat mendedahkan kecederaan di leher dan badannya, membawa kepada kesimpulan bahawa Zayn Rayyan telah dibunuh.
Beliau berkata, siasatan boleh diselesaikan dalam tempoh enam hari atau mungkin memerlukan lebih masa bergantung kepada hasilnya.
"Beri ruang kepada polis untuk menyiasat perkara itu secara menyeluruh. Peguam ibu bapa boleh berjumpa anak guam mereka tetapi ia bergantung kepada budi bicara polis.
"Mereka sama ada boleh bertemu anak guam dalam tempoh reman atau selepas itu. Polis ada budi bicara untuk memastikan bila mereka boleh berjumpa," jelasnya.
Terdahulu, polis memaklumkan bahawa tempoh reman bagi kedua ibu bapa arwah Zayn yang sepatutnya tamat pada Jumaat disambung semula selama enam hari.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret, Ainaa Muhamad Kamal berikutan tahanan reman tujuh hari yang berakhir pada Jumaat.
Peguam pasangan itu, Fahmi Abd Moin, mengesahkan perkara itu ketika ditemui wartawan di luar bilik mahkamah pada hari yang sama.
Pada 31 Mei lalu, ibu bapa Zayn Rayyan ditahan di Puncak Alam, Selangor kira-kira pukul 11 pagi dan ditahan reman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram