BERSATU capai ketetapan jawatan Presiden tak dipertandingkan, MPT selesai putuskan nasib 7 wakil rakyat


  • Politik
  • Ahad, 09 Jun 2024

Hamzah berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan pada Jumaat. — Facebook

MESYUARAT Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) membuat ketetapan bahawa jawatan presiden parti terbabit tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti Oktober ini.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan pada Jumaat.

Ujarnya, keputusan itu adalah selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu pada 25 November lalu yang sebulat suara memutuskan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai presiden parti bagi pemilihan akan datang.

BACA LAGI: Membazir RM36 juta duit rakyat jika 6 PRK Parlimen diadakan

BACA LAGI: [VIDEO] Pertama kali berlaku, kuasa Speaker Dewan Rakyat penentu nasib kerusi 6 MP BERSATU

Kata beliau, BERSATU juga kekal mengikut Perlembagaan Parti bagi mempertandingkan jawatan lain dan calon berhasrat bertanding perlu mengemukakan permohonan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi selaras dengan Fasal 14.14 dan 14.16 Perlembagaan Bersatu.

“Mesyuarat turut memutuskan tarikh persidangan peringkat cawangan pada 20 Julai hingga 31 Ogos ini dan peringkat Bahagian pada 12 hingga 26 Oktober.

“Sementara itu, Perhimpunan Agung Sayap Bersekutu dan Srikandi Muda (28 November), Perhimpunan Agung Sayap Armada dan Srikandi (29 November) dan Perhimpunan Agung Tahunan (30 November hingga 1 Disember),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan BERSATU turut melantik Datuk Dr Radzi Jidin dan Abdullah Omar Bledram masing-masing sebagai Ketua Bahagian (Penaja) Putrajaya dan Ketua Bahagian (Penaja) Labuan yang baharu.

Menerusi kenyataan sama, beliau berkata, mesyuarat turut membincangkan status tujuh bekas wakil rakyat Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Status tujuh wakil rakyat yang berpaling tadah juga telah diputuskan dan Majlis Pimpinan Tertinggi mengarahkan Setiausaha Agung untuk membuat tindakan susulan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram