KTMB tambah baik garis panduan sewaan khas susulan isu 'disko bergerak'


  • Massa
  • Selasa, 21 Mei 2024

Pihak KTMB akan menambah baik garis panduan sewaan khas bagi seluruh tren dan koc. — Gambar hiasan/The Star

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah baik garis panduan perkhidmatan sewaan khasnya (Charter Train).

Pihaknya memaklumkan akan memastikan pihak penyewa mematuhi syarat ditetapkan oleh KTMB.

"Peranan KTMB adalah sebagai penyedia perkhidmatan di keseluruhan tren dan koc mengikut permintaan pelanggan. Bagi aktiviti yang ditentukan oleh pelanggan, mereka perlu mengikut garis panduan dan terma yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA LAGI: Gerabak KTMB dicemari 'disko bergerak', tidak selari konsep Malaysia Madani

BACA LAGI: Presiden Iran terkorban: Tiada isyarat dikesan dari helikopter terhempas, kata Menteri Pengangkutan Turki

2703986

Tangkap layar video memaparkan suasana di acara hiburan Pinkfish Express yang berlangsung di dalam sebuah tren milik KTMB baru-baru ini.

Ia susulan kontroversi penganjuran pesta hiburan sempena ulang tahun 'Pinkish Festival' di tren sewaan khas yang membuat perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah pada 16 Mei lalu.

Katanya, KTMB telah menetapkan syarat seperti larangan merokok, alkohol, penggunaan dadah dan sebarang aktiviti yang boleh melanggar undang-undang.

"Syarat ini telah dipersetujui dan dipatuhi oleh pelanggan kami," katanya.

KTMB juga menyatakan bahawa ia telah memperkenalkan perkhidmatan kereta api sewa sejak September 2021 untuk syarikat atau individu yang berminat untuk menyewa kereta api khas.

"Perkhidmatan ini mendapat sambutan menggalakkan dan telah disewa khas oleh kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dari dalam dan luar negara serta persatuan," tambahnya.

Sebelum ini, tular beberapa video memaparkan sebuah acara hiburan yang difahamkan berlangsung di gerabak milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sejak Sabtu.

Menerusi beberapa foto dan klip yang tersebar di media sosial memaparkan suasana pengunjung yang dilihat menari sambil mendengar lagu yang dipasang oleh DJ di dalam tren yang sedang bergerak.

Menurut laporan media, acara tersebut itu merupakan festival hiburan pertama di Asia Tenggara yang diadakan di atas kereta api. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram