Bayi 6 bulan nyaris rentung rumah kayu terbakar di Sungai Besar


  • 112
  • Rabu, 22 Mei 2024

Kebakaran membabitkan sebuah rumah kayu yang terbakar 95 peratus.

ENAM sekeluarga nyaris rentung selepas rumah kayu mereka di Jalan Mawar, Kampung Hala Cara Baru, Sungai Panjang, Selangor musnah dalam kebakaran awal pagi Rabu.

Difahamkan, keenam-enam mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri dan tiga anak mereka serta seorang wanita sedang tidur ketika kejadian itu berlaku namun berjaya menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3.59 pagi Rabu.

BACA LAGI: 747 pegawai perubatan akan ditempatkan di semua hospital negeri — KKM

BACA LAGI: Polis bebaskan 2 suspek pelajar IPT terlibat serangan Balai Polis Ulu Tiram tanpa syarat

Menurutnya tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dan Sabak Bernam dengan kekuatan 14 anggota terbabit dalam operasi pemadaman itu.

"Menurut laporan awal, kebakaran membabitkan sebuah rumah kayu yang terbakar 95 peratus.

"Turut musnah adalah kereta Perodua Myvi dan Proton Wira,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Mukhlis berkata, api berjaya dikawal serta dipadamkan sepenuhnya kira-kira 90 minit kemudian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Mangsa, seorang wanita berusia 80 tahun, seorang lelaki berusia 33 tahun, seorang wanita berusia 32 tahun, dua lelaki berusia tujuh dan sembilan tahun serta bayi perempuan enam bulan dilaporkan tidak cedera. — The Star/Farik Zolkepli

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram