KEBAJIKAN pekerja gig bakal terbela apabila kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak pekerja gig yang kini sudah mencecah 1.12 juta orang, terutama dalam kalangan anak muda.
"Langkah ini diambil kerana majoriti besar belia Bumiputera terlibat dalam pekerjaan gig. Namun sebagai pekerja tidak formal, mereka tidak punyai perlindungan perundangan pekerjaan serta sistem perlindungan sosial," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu.
BACA LAGI : Grab Malaysia perkenalkan ciri bidaan tambang di bandar terpilih
Pekerja sektor gig yang akan diberikan hak pelindungan. — Gambar hiasan/The Star
Ekonomi gig adalah satu trend pasaran bebas memberi kebebasan kepada syarikat untuk membina platform dengan tenaga kerja (pekerja) gig tanpa perlu menjadi pekerja sepenuh masa seperti mana ditakrifkan mengikut Akta Kerja 1955.
Terdahulu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melakukan peluasan liputan perlindungan bagi memastikan keterangkuman perlindungan pekerjaan serta pendapatan, terutama bagi golongan yang bekerja dalam sektor ekonomi Gig atau tidak formal.
Susulan itu, Ahli Ekonomi Muda Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Adzzahir Ifwad Adzman memuji tindakan kerajaan memperuntukkan Rm100 juta pada 2023 untuk menyokong sumbangan Perkeso bagi pekerja gig.
Katanya, ia merupakan satu inisiatif yang patut dipuji dan berpandangan jauh serta menjadi satu langkah penting ke arah Malaysia yang lebih makmur dan saksama.
Adzzahir Ifwad dilaporkan berkata, cadangan untuk melaksanakan peluasan liputan perlindungan itu secara berperingkat mengikut fasa adalah pendekatan yang berhemah, terutama dalam situasi cabaran keseimbangan fiskal kerajaan.
BACA LAGI : Pekerja ekonomi gig tidak termasuk di bawah definisi pekerja — Menteri
Pekerja p-hailing membuat protes kerana tidak berpuas hati terhadap sistem pembayaran gaji. — The Star
Bukan itu sahaja, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abd Latiff pada 20 Januari berkata, kerajaan perlu menetapkan satu dasar atau garis panduan supaya pekerja gig diiktiraf sebagai pekerja tetap yang membolehkan mereka menikmati pendapatan minimum RM1,500 serta tambahan bayaran untuk lebihan masa bekerja.
Ia selepas tularnya poster kempen boikot syarikat Grab dipercayai dilakukan oleh penunggang p-hailing kerana tidak berpuas hati dengan kadar upah baharu yang ditetapkan syarikat itu.
Namun, Grabfood Malaysia menolak dakwaan pihaknya menurunkan kadar upah sebaliknya syarikat itu menyelaraskan bayaran asas dan menaikkan elaun serta insentif penunggang.
Bagaimanapun, pengumuman Anwar pada Sabtu berkenaan usaha melindungi nasib pekerja gig sedikit sebanyak dapat memberi sinar kepada para pekerja sektor itu.
Selain itu, terdapat beberapa isu lain yang dikemukakan dalam ketika penutupan KEB 2024 termasuk tabung wakaf Mara Madani, peruntukan dana generasi baharu usahawan Bumiputera, tanah rizab Melayu dan memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Bumiputera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram