Grab Malaysia perkenalkan ciri bidaan tambang di bandar terpilih


  • Bizz
  • Selasa, 21 Nov 2023

Grab Malaysia menawarkan dan sedang menguji ciri bidaan tambang dalam aplikasinya baru-baru ini.

GRAB Malaysia kini memperkenalkan ciri bidaan tambang yang membolehkan para penumpang mencadangkan harga kepada pemandu dalam aplikasinya.

"Kami sedang menjalankan percubaan berskala kecil untuk menguji ciri tersebut di bandar terpilih di Malaysia," katanya ketika dihubungi LifestyleTech.

Hal ini kerana, terdapat segelintir pengguna media sosial yang mendakwa telah menerima notis tentang ciri tersebut di GrabAcademy dalam aplikasi Grab.

Pada masa sama, tangkapan skrin dengan butiran mengenai ciri itu juga telah dikongsikan di media sosial.

Ciri tersebut diberikan sebagai 'pilihan' bagi kedua-dua penumpang dan pemandu namun, ciri tambang tetap seperti JustGrab dan GrabCar masih kekal.

photo_6260370929838307610_y

Grab yang menawarkan ciri khas dalam aplikasinya yang lebih telus dan fleksibel. — Agensi

Bukan itu sahaja, pemandu harus menghidupkan ciri itu terlebih dahulu jika mereka ingin menggunakan perkhidmatan tersebut.

Bidaan tambang bermula apabila penumpang membuat permintaan dengan mencadangkan harga yang mahu dibayar untuk perjalanan mereka.

Kemudian, pemandu mempunyai 15 saat untuk menerima tawaran tambang yang berbeza manakala, jumlah tawaran balas pula akan ditunjukkan untuk dicadangkan oleh pemandu pada aplikasi tersebut.

Selepas itu, penumpang kemudiannya boleh memilih pemanduan pilihan mereka berdasarkan tawaran yang diterima. Pemandu akan dimaklumkan dalam masa 15 hingga 20 saat jika mereka telah dipilih oleh penumpang untuk meneruskan perjalanan itu.

Sementara itu, Grab berkata, ciri pembidaan tambang akan membantu mewujudkan 'sistem harga yang lebih telus dan fleksibel' dengan 'membenarkan penumpang dan pemandu mendapat 'persetujuan bersama' terhadap harga yang dikenakan. — The Star/Angelin Yeoh

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram