Waris nelayan lemas di Pulau Kendi terima 2 faedah PERKESO


  • Massa
  • Isnin, 20 Mei 2024

Steven Sim (kiri) menyampaikan bantuan kepada balu Allahyarham Mohd Azrul Rosli (kanan). — PERKESO

BALU dan empat cahaya mata kepada nelayan yang meninggal kerana bersabung nyawa mencari rezeki di laut dalam kejadian di Pulau Kendi, Balik Pulau, Pulau Pinang 5 April lalu mendapat faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, Allahyarham yang ditemui mati lemas adalah pencarum PERKESO menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), sejak 24 Februari 2020.

Menurutnya, caruman Allahyarham dibuat menerusi inisiatif yang dijayakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Pinang yang telah mencarumkan melalui potongan sekali dalam setahun menerusi elaun sara hidup bulanan yang diterima beliau dari LKIM.

BACA LAGI: PERKESO senarai 5 sektor guna tenaga dijangka berkembang dalam pasaran buruh negara

BACA LAGI: Tak sampai sejam dah siap, peguam syarie kongsi pengalaman mudah daftar caruman SKSPS PERKESO

IMG_5391

Steven Sim (kanan) melawat keluarga Allahyarham Mohd Azrul Rosli — PERKESO

Katanya lagi, caruman hasil keringat ketua keluarga itu melayakkan warisnya menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM1,395 untuk setiap bulan dan Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM2,000 secara sekali bayar.

“Skuad PERKESO Prihatin yang mendapat makluman berhubung kes ini mendapati Allahyarham Mohd Azrul Rosli adalah pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO sejak lebih empat tahun lalu.

“Justeru, balunya, Aiza Musliha Muda menerima bayaran pertama FOT pada Jumaat lalu hasil caruman Allahyarham untuk meneruskan kehidupan.

“Bayaran FOT berkadar RM1,395 akan diberikan dan dibahagi mengikut syer masing-masing untuk sepanjang hayat buat Aiza, manakala empat anak Allahyarham adalah sehingga mereka berusia 21 tahun atau selagi melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Ziarah Prihatin ke kediaman Allahyarham Mohd Azrul, di Titi Teras, Balik Pulau selain menyerahkan sumbangan wakallah PERKESO dan kotak prihatin.

Program Ziarah Prihatin itu turut dihadiri Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Pulau Pinang, Raymond Rosidih; Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan, Khairil Anuar Chek Mat dan Pengurus Pejabat PERKESO Pulau Pinang, Chiam Hong Lan.

Steven Sim berkata, ketika ini terdapat 37,047 nelayan sahaja yang berdaftar daripada keseluruhan 611,617 OBS aktif menerusi Akta 789, manakala itu PERKESO sudah meluluskan sebanyak 1,925 kes tuntutan faedah SKSPS bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini dengan jumlah pembayaran yang mencecah RM8.01 juta.

“Oleh itu, individu bekerja sendiri termasuk nelayan perlu cakna mengenai kepentingan jaringan keselamatan sosial dalam menyediakan perlindungan komprehensif yang bukan sekadar menjaga kebajikan pencarum, sebaliknya turut meliputi kebajikan orang tanggungan mereka,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan pada 4 April lalu, gerakan mencari diaktifkan apabila Mohd Azrul dilaporkan tidak pulang daripada keluar menangkap ikan secara bersendirian, sebelum ditemui mati lemas sehari kemudian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram