PENULIS blog Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris direman dua hari bermula Rabu.
Terdahulu, Papagomo ditahan pada Selasa dakwaan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Peguamnya, Rafique Rashid berkata, pegawai penyiasat memohon reman empat hari untuk melengkapkan siasatan mereka, tetapi pihak pembelaan membantah permohonan itu.
Katanya, Wan Azri dibawa ke mahkamah reman di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira pukul 9.30 pagi Rabu.
“Setelah mendengar hujahan pihak-pihak, majistret memberi reman dua hari sehingga esok,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Wan Azri dipercayai membuat kenyataan itu dalam video dua minit 46 saat dengan mempersoalkan tindakan Sultan Ibrahim berjumpa dengan pemilik KK Mart, Datuk Seri Chai Kee Kan di Istana Negara dimuat naik di laman sosialnya yang berunsurkan hasutan.
Dalam video sama, dia juga mendakwa Agong mengarahkan Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, didakwa di mahkamah mengikut Akta Hasutan.
Video penahanan Wan Azri oleh dua anggota polis turut tular pada Selasa.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram