Polis cekup pemuda 24 tahun muat naik ugutan bunuh ibu bapa Naim Daniel


  • 112
  • Sabtu, 18 Mei 2024

Komen berbaur ugutan bunuh yang dimuat naik lelaki tersebut di akaun media sosial Naim Daniel pada Rabu lalu.

SEORANG lelaki berusia 24 tahun ditahan di Kamunting, Perak pada Jumaat selepas memuat naik komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapa kepada pelakon, Naim Daniel di media sosial.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon pintar bersama suspek yang bagi membantu siasatan.

"Rabu lalu, Balai Polis Lenggeng menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang selebriti mengenai kejadian berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA LAGI: Raja Muda Perlis jadi Pemangku Raja Perlis selama 4 bulan

BACA LAGI: Selain bilik darjah, 3 lagi fasiliti murid sekolah yang perlu ditambah baik

Naim Daniel

Naim Daniel menerima ugutan itu selepas memuat naik video ulasan isu boikot sebelum itu. — The Star

Abdul Malik berkata, polis menangkap individu berkenaan di Kamunting, Perak, pukul 6 petang Jumaat untuk siasatan kes tersebut.

"Berdasarkan laporan, pengadu dipercayai menerima satu ugutan jenayah dari individu yang tidak dikenali di laman sosial kira-kira pukul 9.50 malam.

"Suspek direman selama empat hari mulai Sabtu hingga 21 Mei depan untuk siasatan kes ini," katanya.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 iaitu jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

Kertas siasatan itu juga akan dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan dalam masa terdekat.

Terdahulu, media melaporkan Naim Daniel menerima komen berbaur ugutan bunuh selepas dia memuat naik video berhubung isu boikot berikutan konflik Israel-Palestin.

Naim Daniel kemudiannya membuat laporan polis terhadap pengguna akaun media sosial yang menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya di Balai Polis Semenyih, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram