AKIBAT membuat ugutan bunuh menggunakan sebilah gunting dan mencederakan ibu kandung, seorang buruh kontrak dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pada Rabu.
Majistret S. Punitha menjatuhkan hukuman itu terhadap V. Kumaran, 48, selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan pertama dan lapan bulan bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak dari tarikh ditangkap pada Isnin lepas.
Bagi pertuduhan pertama, Kumaran didakwa dengan sengaja melakukan ugutan jenayah secara lisan terhadap ibu kandungnya V. Yallama, 73, dengan mengacukan gunting ke leher dengan niat hendak mendatangkan rasa cemas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya, Chemor pada kira-kira pukul 4 petang, 27 Ogos lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua iaitu mendatangkan kecederaan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh hukuman yang ditetapkan di bawah Seksyen 323.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili Siti Hajar Hamzah, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram