SEORANG wanita ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas sejadah dalam rumahnya di Taman Inang, Alor Setar, Kedah pada 10 malam terakhir Ramadan, Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II, Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden wanita terperangkap dalam rumah yang berkunci pada pukul 8.46 malam.
Orang ramai serta pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian. — BBP Alor Setar
BACA LAGI: 'Boleh buat cekodok', wanita hilang selera nak berbuka dapat air soya serupa tepung
Ahmad Naufal berkata, pihaknya terpaksa memecahkan pintu menggunakan peralatan khas dan mendapati mangsa, Munirah Rafie, 59, dalam rumah berkenaan dalam tidak sedarkan diri.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya pada Sabtu.
Sementara itu, seorang ahli keluarga terdekat mangsa menggunakan akaun Facebook Fuzi Ismail berkata, mangsa tinggal di rumahnya seorang diri.
Katanya, mangsa mempunyai empat orang anak dan kesemuanya menetap di Kuala Lumpur.
"Arwah adalah sepupu saya dan ada empat orang anak. Suami arwah pula sudah meninggal dunia," katanya kepada Majoriti.
Fuzi berkata, jenazah mangsa juga dikebumikan di Kampung Lengkuas, Bukit Pinang, Alor Setar pada pagi Ahad.
Manakala, menurut adik mangsa yang mahu dikenali sebagai Masyitah, mangsa sememangnya menghidap penyakit jantung dan sudah mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Namun, kematian mangsa adalah secara mengejut.
"Sepanjang rawatan dia okay dan tiada masalah. Kami pun terkejut sebab dia meninggal mengejut.
"Arwah bekerja sendiri setelah kematian suami tujuh tahun lepas," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram