Polis hantar pulang 3 warga asing disyaki terlibat dengan lelaki Israel miliki senjata api


  • 112
  • Rabu, 15 Mei 2024

Rusdi sahkan tiga warga asing ditahan bagi kes Shalom Avitan sudah dihantar ke negara asal. — Polis KL

KESEMUA tiga lelaki warga asing yang disyaki mempunyai kaitan dengan individu dari Israel sudah dihantar pulang ke negara asal.

Sebelum ini, mereka ditahan oleh pihak berkuasa kerana disyaki mempunyai hubungan dengan lelaki warga Israel yang juga mempunyai passport Perancis bernama Shalom Avitan yang turut ditahan kerana mempunyai enam pucuk pistol.

Memetik laporan Berita Harian, ketiga-tiga warga asing berasal dari Amerika Syarikat, Turkiye dan Georgia itu dihantar semula ke negara asal bermula pada Isnin dan Selasa selepas soal siasat selesai dilakukan pihak polis.

BACA LAGI: 'Perisik' Israel mahu dibicarakan atas 2 pertuduhan miliki senjata

BACA LAGI: Dituduh jual senjata api ke 'perisik' Israel, pasangan suami isteri tidak mengaku bersalah, minta dibicara

shalom-avitan

Avitan ditahan pihak berkuasa selepas didapati mempunyai enam pucuk pistol.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, kesemua tiga warga asing itu diserah kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pemindahan selepas siasatan selesai dijalankan.

Selain tiga warga asing tersebut, tujuh warga tempatan yang ditahan turut dilepaskan dengan jaminan pihak polis diberikan terhadap semua yang terlibat.

Kata Rusdi, walaupun dilepaskan, tetapi mereka masih boleh dipanggil kerana mereka dilepaskan dengan jaminan pihak polis.

"Ketiga-tiga suspek termasuk tujuh warga tempatan dibebaskan 10 Mei lalu di bawah jaminan polis. Semua mereka boleh ditahan semula sekiranya ada bukti baharu.

"Kena faham bebas dengan jaminan, kalau ada perkembangan, saksi, keterangan baharu, kertas siasatan boleh dibuka bila-bila masa. Jangan ingat kalau dibebaskan dia lepas begitu sahaja," kata Rusdi.

Untuk rekod, kesemua 10 warga asing dan tempatan itu ditahan pada 19 April bagi membantu siasatan berkenaan kes melibatkan Avitan. Tiga suspek dihadapkan ke mahkamah iaitu Avitan sendiri serta pasangan suami isteri warga tempatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 130v(1) Kanun Keseksaan dengan kesalahan menyertai kumpulan jenayah terancang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram