
SEORANG suspek yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes serangan asid terhadap pemain sayap negara, Faisal Halim direman selama dua hari.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek lelaki berusia 20-an itu dikesan berdasarkan nombor pendaftaran motosikal yang dikenal pasti ketika kejadian.
"Dia ditahan bagi membantu siasatan berhubung serangan itu.
"Suspek direman selama dua hari," katanya pada Isnin.
BACA LAGI: Sultan Selangor, RMS titah siasat kes serangan asid libat Faisal Halim hingga ke akar umbi
BACA LAGI: Suspek serangan asid ke atas Faisal Halim sudah ditahan — Polis Selangor
Faisal kini menerima rawatan di hospital berikutan kecederaan di beberapa anggota, termasuk tangan dan rusuk kirinya.
Buat masa ini, Razarudin menggesa orang ramai tidak mengganggu siasatan polis untuk membongkar motif di sebalik kejadian itu.
"Kita juga tidak dapat mengesahkan sama ada serangan ke atas Faizal ada kaitan dengan serangan ke atas seorang lagi pemain bola sepak Terengganu, Akhyar Rashid yang diserang dan disamun di Kuala Terengganu, Terengganu 2 Mei lalu.
"Kami berharap tiada pihak akan membuat spekulasi mengenai kejadian itu.
"Polis Selangor sudah pun merekodkan keterangan tiga individu termasuk Faizal dan kita akan panggil saksi lain," katanya lagi.
Razarudin turut menafikan serangan terhadap kedua-dua pemain bola sepak itu ada kaitan dengan bookie bola sepak.
"Kami menggesa orang ramai supaya tidak membuat cerita kerana ia boleh menjejaskan siasatan.
"Beri kami ruang dan masa untuk menyiasat kes itu secara menyeluruh," tambahnya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram