DARI isu perkhidmatan bas yang terhad, pengenalan caj parkir, peluang pekerjaan sehingga kepada liputan internet yang lemah.
Demikian merupakan beberapa masalah utama diharapkan pengundi untuk diselesaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal terpilih dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kubu Bharu (KKB), Selangor pada 11 Mei depan.
Kesemua perkara tersebut menjadi antara isu utama ditimbulkan pengundi yang ditemukan Majoriti dalam tinjauan yang dilakukan di sekitar pekan KKB pada Jumaat.
Bagi pesara, Samsul Sudin, 67, dia berpandangan kawasan tersebut tidak memerlukan pembangunan yang berskala mega memandangkan rata-rata keperluan utama yang diperlukan penduduk disifatkannya sudah dipenuhi.
Samsul Sudin
Bagaimanapun, antara kemudahan penting yang menurutnya perlu ditambah baik adalah terhadap perkhidmatan pengangkutan bas awam yang dilihat masih terhad daripada segi jumlah bas dan juga laluan yang diwujudkan.
"Dulu ada bas ulang alik daripada KKB ke Rawang, tapi sekarang dia punya perkhidmatan jadi makin kurang. Tak banyak.
"Alasan yang diberi, sebab sekarang ini masing-masing dah pakai kereta. Tapi macam mana pula yang tiada kereta. Mungkin suami isteri dah pakai kereta, macam mana anak-anak nak bergerak keluar," ujarnya.
Menurut Samsul, laluan bas tambang percuma yang ada ketika ini juga dilihat tidak meliputi beberapa kawasan terpencil dan pendalaman seperti di Lembah Beringin dan Batang Kali.
Ujarnya, pengangkutan bas ke destinasi seperti bandar Rawang adalah penting kepada penduduk kerana terdapat beberapa kemudahan perkhidmatan utama seperti kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hospital pakar dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Jadi harapan saya supaya perkhidmatan bas diperbanyakkan laluan termasuk mungkin ke Kuala Lumpur untuk memudahkan orang nak bekerja. Sekarang ini kalau ada bas pun terhad. Satu hari hanya empat kali sahaja. Jadi kena tunggu berapa jam. Kadang-kadang sampai empat hingga lima jam baru boleh pergi ke Rawang dan Kuala Lumpur," ujarnya.
Suasana di pekan KKB ketika tempoh berkempen PRK di kawasan tersebut.
Turut sependapat dengan Samsul ialah pekerja gudang, Peretis Kesavan, 20, yang berpandangan perlunya penambahbaikan terhadap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam itu.
Dia yang tinggal di Bukit Beruntung, kira-kira 30 kilometer dari pekan KKB mengakui sering berdepan isu kelewatan menggunakan bas dari rumahnya ke pekan.
"Setiap minggu saya datang sini untuk ke bank dan ke pasar. Memang ada masalah bas. Ada waktu memang tak ikut jadual. Kadang ada hari lambat satu hingga dua jam itu. Jadi kita datang sini pun kena tunggu bazirkan masa banyak," kongsinya.
Peretis Kesavan
Pada masa sama, Peretis turut berharap agar bakal ADUN dipilih nanti supaya memberikan perhatian terhadap usaha bagi mewujudkan peluang pekerjaan khususnya terhadap kumpulan anak muda sepertinya.
Isu mengenai kekurangan peluang pekerjaan itu turut diakui oleh pesara, Maran Ponusamu, 62, yang berkongsikan mengenai kesukaran dihadapi oleh tiga orang anaknya.
Dua daripada tiga anaknya terpaksa berhijrah ke sekitar Lembah Klang, manakala satu-satunya anaknya yang tinggal bersama keluarganya di Taman Selesa perlu berulang alik dari rumah ke tempat kerjanya di Rawang.
"Anak saya pun dah putus asa. Empat kali pergi temu duga tak dapat. Jadi lepas itu dia ambil keputusan kerja di Rawang dengan ulang-alik naik kereta," katanya yang juga mengakui sedikit terkesan dengan kenaikan harga barangan.
Maran Ponusamu
Sementara itu, pengusaha pusat asuhan kanak-kanak yang juga anak jati KKB, Rabiatuladawiah Norazizan, 35, berkata, secara umumnya, dia berpuas hati dengan tahap pembangunan yang berlangsung di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, satu aspek yang mungkin perlu diperbaiki adalah berhubung usaha bagi menambah baik imej KKB sebagai kawasan pelancongan.
"Kebanyakan bangunan di KKB banyak bangunan warisan. Jadi kalau ada penyelenggaraan yang baik, ia mungkin akan nampak lebih menarik. Orang luar pun tengok makin cantik.
"Contohnya dekat sini ada panggung wayang lama, kemudian bangunan yang ada di pekan ini juga adalah bangunan binaan British. Selain itu KKB juga terkenal dengan ekopelancongan melalui sungai yang berada di dalam kawasannya," katanya yang turut berharap agar bakal ADUN dipilih nanti supaya mengekalkan kemajuan dan keharmonian masyarakat di KKB.
MPHS mula mengenakan caj parkir di sekitar KKB sejak kira-kira Disember lalu.
Sementara itu, peniaga restoran makanan, Yoot Loy, 61, membangkitkan isu mengenai caj meletak kenderaan yang mula dilaksanakan secara berperingkat sejak kira-kira Disember tahun lalu.
Ujarnya, meskipun kadar caj dikenakan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) adalah rendah iaitu RM0.50 sejam, ramai pelanggan mengadu kepadanya mengenai bebanan yang dirasai akibat pelaksanaan langkah tersebut.
"Bagi saya ini pekan KKB ini kecil sahaja, tak perlulah sampai kenakan caj," ujarnya yang sudah meniaga di KKB sejak 40 tahun lalu.
Saniah Mohd Ali
Dalam pada itu, pesara, Saniah Mohd Ali, 56, berharap agar wakil rakyat dipilih nanti supaya memberikan perhatian terhadap liputan dan kualiti internet yang menurutnya masih belum berada di tahap memuaskan di sesetengah kawasan.
"Sekarang ini internet dah jadi kemudahan penting untuk kita gunakan dalam komunikasi harian," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram