POLIS percaya insiden tembakan rambang di sebuah rumah di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan awal pagi Sabtu adalah bermotifkan konflik lama.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dilaporkan berkata, tembakan yang dilepaskan mungkin bersifat amaran dan ada kaitan dengan kes lama iaitu bersabit dengan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
"Senjata api yang digunakan dipercayai jenis pistol semi auto yang menggunakan peluru jenis Luger 9 milimeter (mm) dan kita kesan kejadian itu berlaku berdasarkan elemen kes sebelum ini, mungkin konflik dari situ.
"Mangsa yang juga pengadu berusia 33 tahun sendiri mempunyai tujuh rekod lampau dan kita percaya tembakan tu ada kaitan dengan kes (Seksyen) 148 KK
"Kita syaki mereka saling mengenali (suspek dan mangsa) dan setakat ini dua suspek sedang dikesan bagi membantu siasatan," katanya menurut laporan media.
BACA LAGI: Dua suspek tunggang Yamaha Y15 lepas tembakan rambang di Pasir Mas

Muhammad Zaki (tengah) memaklumkan pihaknya masih berusaha mengesan dua suspek di sekitar kawasan Kelantan.
BACA LAGI: Seluk seluar sebelum cuit-cuit, warga asing disyaki galak meraba perempuan di Bukit Bintang
Muhamad Zaki dilaporkan berkata, siasatan setakat ini sudah mencecah 80 peratus dan usaha mengesan dua suspek sedang giat dijalankan namun percaya kedua-dua lelaki itu masih berada sekitar Kelantan.
"Kita perketatkan kawalan di sempadan kerana dikhuatiri lolos ke negara jiran dan dalam masa yang sama rondaan serta pemeriksaan turut dijalankan.
"Kita juga akan mengesan jika turut terdapat individu lain yang terbabit dalam kejadian ini walaupun hanya membantu namun dalam masa sama menganggap ini bukan kes terpencil dan kita yakin dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya.
Terdahulu, sebuah keluarga yang sedang nyenyak tidur dikejutkan dengan bunyi beberapa das tembakan yang dilepaskan dua lelaki yang menunggang motosikal jenis Y15 sebelum melarikan diri dari arah Kampung Gelang Mas ke Kampung Bunut Susu.
Berdasarkan laporan yang dibuat pada pukul 4.42 pagi, pengadu terdengar bunyi empat das tembakan di luar rumahnya kira-kira pukul 3 pagi ketika sedang tidur bersama sepupunya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
