Mekanik maut, rakan parah akibat tayar jentolak meletup di Sungai Buloh


  • 112
  • Jumaat, 03 Mei 2024

Kedua-dua mangsa berusia 19 dan 21 tahun merupakan pekerja bengkel tersebut. — PDRM

SEORANG pekerja bengkel maut sementara rakannya parah selepas sebiji tayar jentolak meletup dalam satu kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, gambar yang tular di media sosial sebelum ini adalah kejadian benar yang berlaku di sebuah pusat servis tayar.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemilik bengkel terkulai layu kena 'headshot' 2 lelaki tak dikenali

441233505_830435342449943_1338006491117746141_n

Satu kenyataan dikeluarkan IPD Sungai Buloh berkaitan kes berkenaan.

BACA LAGI: Bengkel jentera berat punca pencemaran sungai di Rawang

"Kita mengesahkan kejadian terbabit pada 30 April lalu (Selasa) kira-kira pukul 12.40 tengah hari di sebuah pusat servis tayar, Bandar Baru Sungai Buloh.

"Hasil siasatan yang dijalankan, kejadian dipercayai berlaku ketika dua lelaki tempatan yang juga pekerja di pusat servis tersebut mengisi angin tayar sebuah jentolak dan tiba-tiba meletup dan terkena kepada kedua-dua mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Akibat kejadian itu, katanya seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa cedera parah dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

"Mangsa yang maut berusia 19 tahun, manakala mangsa yang parah berusia 21 tahun dan kedua-duanya adalah pekerja di pusat servis tayar berkenaan.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan satu kertas siasatan SDR dibuka berkait kes ini," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar berkaitan kejadian itu bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan tidak membuat apa-apa spekulasi tentang kejadian berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram