Penerbit filem Pulau terima teguran, arah buat semula video promosi 


  • Hiburan
  • Khamis, 26 Jan 2023

Oleh kerana didakwa mengandungi babak panas keterlaluan, filem Pulau berdepan dengan 'ancaman' memboikot dan melarang tayangannya di pawagam.

KONTROVERSI babak panas dalam filem Pulau yang tular di media sosial menyebabkan penerbitnya diarahkan untuk mengulang semula video promosi atau trailer naskhah terbabit.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prof Dr Md Nasir Ibrahim yang memberitahu pihaknya tidak lepas tangan dalam menangani isu tersebut.

Katanya, teguran sudah dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK) Finas bagi mengarahkan pihak penerbit filem untuk bertindak sedemikian.

"Saya minta UKK Finas supaya mendapat maklum balas mengenai perkara itu. Teguran dibuat oleh UKK untuk meminda trailer filem dibuat berdasarkan kelulusan oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"Apa yang berlaku ini kita akan buat kajian terperinci agar pada masa sama tidak menghalang kreativiti pengkarya. Saya juga sudah memanggil pihak-pihak yang bertanggunjawab dalam hal itu untuk berbincang," katanya kepada media ketika ditemui pada Khamis.

majoriti2023 (6)

Prof Dr Md Nasir Ibrahim

Pada masa sama, Md Nasir turut yakin bahawa LPF meluluskan mana-mana babak yang mereka rasakan bersesuaian untuk tayangan.

"Mereka (LPF) turut mempunyai bidang kuasa sendiri dan kami (Finas) saling menyokong antara satu sama lain. Dengan adanya LPF filem-filem ditapis berdasarkan garis panduan yang disediakan.

"Mereka mengikut garis panduan tersebut. Jadi filem Pulau yang kontroversi itu bertitik tolak daripada trailer yang disiarkan di YouTube.

"Oleh itu trailer filem itu perlu mengikut jalan cerita yang sebenar iaitu sekumpulan individu yang tidak beradab ditimpa bencana," jelasnya.

Terdahulu, penerbit Pulau, Fred Chong menyatakan pihak hanya ingin mengetengahkan budaya sebenar masyarakat di negara ini dan keindahan persekitaran Pulau Langkawi.

Untuk rekod, filem Pulau dibintangi oleh Alif Satar, Amelia Henderson, Ikmal Amry Sanjna Suri, Joey Leong, Harris Annuar, Jazmy Juma, Mark O'Dea, Sabronzo, Evie Feroza, Cadric Loo, Pui Yi dan Vikar.

Pulau yang diterbitkan oleh WebTVAsia, My Way Pictures dan Filmforce Studio juga dijadualkan akan ditayangkan pada 9 Mac depan.

Disebabkan itu panas tersebut, terdapat beberapa pihak yang meminta agar filem tersebut diboikot dan dilarang tayangannya di pawagam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram