Miliki akaun media sosial boleh beri tekanan kepada budak belum matang — CMCF


  • Massa
  • Rabu, 24 Apr 2024

Ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab memelihara anak-anak mereka daripada terdedah kepada risiko dan ancaman yang wujud di media sosial.

FORUM Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) menyarankan ibu bapa dan penjaga memastikan kanak-kanak hanya diberikan akses kepada peranti dan kandungan di internet dengan pengawasan serta pemantauan sewajarnya.

CMCF pada kenyataan berkata, ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab memelihara anak-anak mereka daripada terdedah kepada risiko dan ancaman yang wujud di media sosial.

"CMCF menyatakan sokongan penuh kepada seruan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang menyampaikan amaran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kepada ibu bapa untuk memastikan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial sendiri.

"Keperluan ini juga selaras dengan pendirian yang diambil kebanyakan platform media sosial," katanya.

BACA LAGI: Pelanggan idam mangga sejauh 70km, sanggup redah kampung berlumpur antara masam manis dilalui Wilmie Runner

2654414

Kanak-kanak perlu mengetahui kebaikan dan keburukan penggunaan siber.

Menurut CMCF, langkah itu penting untuk memberi perlindungan keselamatan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun kerana mereka mungkin tidak memahami sepenuhnya risiko menggunakan media sosial.

"Tanpa pengawasan betul, mereka boleh menjadi mangsa kepada aktiviti tidak selamat seperti penipuan, keganasan siber atau pergaulan yang memudaratkan.

"Pada masa sama, fenomena trend dan cabaran yang sering disertai ramai pengguna media sosial juga boleh menimbulkan risiko kepada kanak-kanak yang takut ketinggalan dan ingin menjadi viral (tular).

"Sesetengah daripada perkara ini amat membahayakan dan ibu bapa mungkin tidak sedar tentang kewujudannya," katanya.

Katanya lagi, media sosial juga mungkin memberi tekanan kepada anak-anak yang masih belum matang atau berupaya untuk mengawal emosi mereka dengan baik.

"Pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan emosi dan psikologi mereka.

"Kanak-kanak juga lebih cenderung untuk berkongsi maklumat peribadi secara terbuka di platform media sosial kerana mereka belum memahami bahaya dan risiko yang bakal timbul. Ini boleh membuka pintu kepada pencerobohan privasi atau perkongsian maklumat kepada mereka yang berniat jahat," katanya.

BACA LAGI: Queen, Beatles pencetus Alena Nadia minat 'goreng' gitar

gadget1

Kanak-kanak perlulah dikawal apabila menggunakan media sosial.

CMCF menggalakkan ibu bapa untuk menyedari risiko dan bahaya yang wujud di media sosial terutama bagi kanak-kanak.

"Penting ibu bapa berkomunikasi secara terbuka dengan anak-anak tentang penggunaan media sosial dan untuk memastikan mereka memahami langkah keselamatan yang perlu diambil.

"Bagi ibu bapa dan individu yang ingin mengetahui lebih lanjut untuk memahami risiko digital serta langkah yang sesuai untuk melindungi diri mereka dan keluarga mereka, CMCF menyediakan sumber maklumat dan sokongan yang diperlukan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram