Chong Wei dan keluarga terkandas di Paris, penerbangan lewat akibat Dubai banjir


  • Massa
  • Sabtu, 20 Apr 2024

Hantaran dimuat naik di Instagram Chong Wei yang kini terkandas di Paris, Perancis. — Instagram/Lee Chong Wei

BEKAS pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan keluarganya terkandas di Paris, Perancis akibat banjir yang melanda Dubai, Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.

Bencana alam tersebut menyebabkan kelewatan penerbangan dari Eropah lantaran gangguan teknikal yang dihadapi di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sebagai hab udara tersibuk dunia.

Beliau bersama isterinya, Wong Mew Choo serta dua anak lelaki mereka, Terence dan Kingston terbang ke Paris pada hujung minggu lalu untuk menyertai Paris 100 Sino-French Badminton Charity Gala di samping meraikan ulang tahun ke-11 Kingston.

Menerusi hantaran di Instagramnya pada Jumaat, Chong Wei berkata, mereka sekeluarga terkandas di negara tersebut selepas banjir teruk di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai yang menjadi transit mereka pulang ke Malaysia.

"Saya rindu nasi lemak," tulisnya.

BACA LAGI: Rakaman 'jutawan Dubai' selamatkan kenderaan masing-masing ketika musibah rupa-rupanya AI

FnEs78pakAMvoPb

Chong Wei (dua dari kiri) serta isteri (dua dari kanan) dan anak-anaknya. — Twitter

BACA LAGI: Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai ditenggelami air, terburuk sejak 1999

Dalam hantaran lainnya pada Sabtu, Chong Wei meluahkan pula rasa rindunya terhadap anak bongsu mereka, Anson yang kini berada di tanah air.

"Anakku Anson, awak seorang budak yang berani, papa dan mama rindu awak di sini," tambahnya.

Terdahulu, beliau disertai oleh legenda badminton lain termasuk Lin Dan dari China, Taufik Hidayat (Indonesia) dan Peter Gade (Denmark) dalam majlis malam gala tersebut bersempena 100 hari menuju Sukan Olimpik Paris.

Pada Rabu lalu, bandar raya Dubai di Emiriah Arab Bersatu dikejutkan dengan bencana banjir besar ekoran hujan lebat luar biasa yang melanda negara padang pasir itu.

Jumlah hujan yang turun pada hari tersebut dilaporkan paling teruk pernah melanda negara Teluk itu dalam tempoh sejak 75 tahun lalu.

Pada masa sama, kesemua aktiviti ekonomi dan harian penduduk di bandar tersebut juga terganggu apabila air turut menaiki jalan, kediaman dan premis perniagaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram