Ibu murid di Cyberjaya dakwa terima gangguan seksual, PIBG sahkan tiada anggota RELA bertugas sehari selepas kejadian


  • Podium
  • Khamis, 18 Apr 2024

Pihak polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes gangguan seksual di sebuah sekolah di Cyberjaya pada Rabu. — Gambar hiasan

PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah di Cyberjaya mengesahkan tiada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas pada Khamis rentetan dakwaan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita.

Terdahulu, wanita yang juga ibu kepada murid di sekolah berkenaan dipercayai menjadi mangsa gangguan seksual selepas mendakwa salah seorang anggota RELA bertindak menunjukkan kemaluannya kepadanya di kawasan sekolah terbabit pada Rabu.

BACA LAGI: Langkah potong subsidi bahan api kekal dilaksana tahun ini — Rafizi

"Pihak PIBG memohon maaf diatas keadaan semasa ketiadaan anggota RELA yang bertugas bagi membantu mengawal lalu lintas dan keselamatan murid pada hari ini (Khamis). Situasi ini dijangka akan berterusan sehinggalah beberapa perkara antara pihak-pihak terlibat dapat diselesaikan.

"Kami amat kesal dengan kesulitan semasa yang dihadapi dan sedang memikirkan langkah alternatif sementara bagi menangani situasi semasa yang berlaku iaitu ketiadaan anggota RELA.

"PIBG juga terbuka untuk menerima cadangan dan idea dari para ibu bapa semua. Sekiranya terdapat di kalangan sukarelawan ibu bapa yang bersedia membantu buat sementara waktu ini amat kami alu-alukan.

"Sebarang kesulitan yang dihadapi di pihak ibu bapa/ penjaga berhubung perkara ini amat dikesali. Sekian," kata PIBG sekolah berkenaan menerusi kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: Lebih 1,000 lelaki mengadu kena gangguan seksual

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu.

"Betul, pihak polis dah terima laporan dari mangsa pada hari sama (Rabu)," katanya kepada Majoriti.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, pihak Majoriti sedang mendapatkan maklum balas daripada mangsa dan pihak sekolah berhubung isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram