1,631 kes kemalangan Op Selamat Aidilfitri, MTUC gesa kerajaan segerakan skim pampasan bencana luar waktu kerja


  • Primer
  • Khamis, 18 Apr 2024

Kemalangan yang berlaku di Kilometer 51.3, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Gerik Perak pada Ahad lalu.

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menyegerakan pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) susulan jumlah kemalangan yang tinggi, direkodkan sepanjang tempoh Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri bagi tempoh 1 hingga 10 April lalu.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pengenalan skim itu amat penting sebagai langkah proaktif untuk melindungi hak-hak pekerja terutamanya apabila melibat kemalangan jalan raya di luar waktu bekerja.

Ini kerana katanya, banyak bencana berlaku ke atas pekerja dalam kes tuntutan faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4) ditolak berikutan ia tidak diiktiraf sebagai bencana kerja.

BACA LAGI: 'Pernah dapat baju kekuningan, busuk', Mohd Adib kongsi pahit manis urus sedekah baju raya terpakai

2634975

Suami isteri rentung dalam perjalanan untuk membeli pakaian raya buat empat anaknya di Jalan Bukit Mantin, Seremban Negeri Sembilan baru-baru ini.

“Perlindungan yang holistik dan komprehensif di luar waktu bekerja seperti ini perlu diperkenalkan seiring dengan hasrat kerajaan yang komited dalam memperkasakan kesejahteraan rakyat meliputi pelbagai golongan.

“Kita perlu berganding bahu agar pewujudan satu lagi skim keselamatan sosial yang khusus dengan skop perlindungan yang lebih luas luar waktu bekerja. Di mana ia berupaya memberi perlindungan menerusi bayaran pampasan untuk rawatan perubatan, gantian pendapatan, dan sokongan kewangan kepada mereka yang terjejas.

“Sekiranya kerajaan merealisasikan suara rakyat ini, ia tidak hanya akan meningkatkan taraf kesejahteraan pekerja tetapi juga memanifestasikan usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyatnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: Menitis air mata baca surah tentang azab, penjual buah terkesan hati sertai Program Taman Tadarus Ramadan

Mengulas lanjut, Mohd Effendy berkata, melalui pengenalan skim itu, ia juga selari dengan hasrat Malaysia dalam menjadi negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada, New Zealand, Sweden dan Norway menjelang tempoh lima hingga lapan tahun dari sekarang.

"Ia jelas menunjukkan kesediaan Malaysia untuk mengadaptasi praktik terbaik dalam menyediakan perlindungan pekerja komprehensif yang tidak hanya memberi manfaat kepada individu tetapi juga kepada ekonomi secara keseluruhan dengan mengurangkan beban kewangan ditanggung oleh masyarakat," katanya.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sejumlah 1,631 kes kemalangan jalan raya berlaku semasa pelaksanaan Op Selamat ke-22 sempena sambutan perayaan Aidilfitri.

Tidak hanya itu, sebanyak 18 orang terkorban dalam nahas yang direkodkan sepanjang 1 April sehingga 10 April lalu.

Mohd Effendy turut berkata, perlindungan bagi SKBBK juga seiring dengan Konsep 3K Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan pekerja yang dicetuskan oleh Menterinya, Steven Sim Chee Keong.

SKBBK merupakan manifestasi dalam mengutamakan konsep kebajikan dalam golongan pekerja melalui perlindungan tambahan terhadap keselamatan serta kesejahteraan pekerja yang lebih holistik di luar waktu bekerja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram