
DUA buah gerai musnah dalam kebakaran yang berlaku di Flat Taman Seri Damai, Jelutong, Pulau Pinang pada Selasa.
Antara gerai yang terlibat adalah gerai Nasi Tomato Batu Lancang yang popular sejak 35 tahun lalu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fairol Mahazi Malek dilaporkan menerima maklumat mengenai kebakaran tersebut pada pukul 10 pagi.
“Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan dua unit gerai dalam kawasan flat berkenaan.
“Kebakaran membabitkan kemusnahan sehingga 70 peratus dan dua motosikal yang diparkir berhampiran turut terjejas,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Safawi Rasid menangis Syifa Melvin buat kejutan hamil anak kedua
Mengulas lanjut, Fairol Mahazi berkata, berikutan kejadian berlaku di kawasan perumahan, pihaknya berdepan dengan masalah trafik dan ruang parkir.
“Penugasan pemadaman api dan size up mengambil masa kira-kira 20 minit bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.
“Kejadian tidak membabitkan mangsa dan operasi tamat pada pukul 11.47 pagi,” katanya.
Sementara itu, pemilik gerai, Mohamad Tajularus Abdul Wahab, 41, berkata, dia dihubungi pekerjanya yang memaklumkan mengenai kejadian kira-kira pukul 10 pagi.
Katanya, ketika itu hanya terdapat dua pekerja di gerai yang memunggah barangan jualan sebelum menyedari kebakaran.
“Ketika kejadian, saya berada di rumah sebelum dihubungi pekerja dan api dikatakan merebak pantas, turut membakar gerai kosong di sebelah gerai saya.
“Gerai nasi tomato ini beroperasi pada waktu malam saja dan baru dibuka semula pada Isnin selepas cuti Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
BACA LAGI: 'Pernah dapat baju kekuningan, busuk', Mohd Adib kongsi pahit manis urus sedekah baju raya terpakai
Kebakaran di Flat Taman Seri Damai yang terjadi pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohamad Tajularus berkata, dia menganggarkan kerugian sehingga RM300,000 berikutan terdapat banyak perkakas dan peralatan yang baharu dibeli.
“Dipercayai kejadian berlaku akibat litar pintas dan saya belum ada perancangan lain kerana masih buntu.
“Biasanya pada waktu cuti perayaan begini, kami terima kunjungan pengunjung luar biasa dan semalam, kira-kira lebih 500 pelanggan menikmati hidangan di sini,” katanya.
Hadir sama di lokasi bagi meninjau kejadian ialah Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mohammad Farouk Abdul Rahman.
“Kita sudah melakukan tinjauan dan mengambil maklumat mengenai kejadian, jadi tindakan susulan akan diputuskan kemudian,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram