SEBUAH organisasi penyelamat haiwan menemui 35 ekor anjing bersama beberapa bangkai haiwan di sebuah rumah di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Ketua FurryKids Safehaven, Jeskiran Kaur Bhatt berkata, pihaknya terpaksa memotong kunci untuk masuk ke banglo satu tingkat itu.
Selain 35 ekor anjing yang dijumpai di lokasi, mereka turut menemui bangkai beberapa ekor anjing dan kucing di dalam kediaman terbabit.
"Semua anjing ini tidak sepatutnya diperlakukan seperti ini. Kami percaya seekor anjing terpaksa memakan anak-anaknya untuk terus hidup, dan beberapa anjing dan kucing lain mati kerana kelaparan," katanya.
Pada 14 April, tular klip video berdurasi 18 minit memaparkan naik Jeskiran dan pasukannya menyelamatkan haiwan dari kediaman berkenaan.
"Kami berhasrat untuk memulihkan semua anjing yang dijumpai ini," katanya sambil menambah pemeriksaan awal menunjukkan kebanyakan anjing itu belum dikembiri.
Jeskiran dan pasukannya terpaksa memotong kunci di kediaman tersebut untuk masuk ke banglo satu tingkat itu.
Jeskiran berkata, dalam penemuan tersebut, 20 ekor anjing ditemui berada dalam perkarangan rumah itu manakala selebihnya dikunci di bahagian dalam kediaman.
Menurutnya, terdapat jiran prihatin bertindak memberi makan kepada anjing yang berada di perkarangan, namun makanan terbabit tidak dapat sampai kepada haiwan yang berada di dalam rumah.
"Terdapat sekurang-kurangnya empat bangkai anjing dan lapan kucing ditemui. Kami memindahkan kesemua 35 ekor anjing yang masih hidup dan menanam yang sudah mati," ujarnya sambil menambah terdapat kira-kira 10 anjing lain dipercayai melarikan diri melalui lubang di pagar.
Dalam pada itu, Jeskiran berkata, pasukannya akan cuba menangkap anjing yang melarikan diri dan membawa mereka ke tempat perlindungan.
Ujarnya, difahamkan kumpulan anjing berkenaan pada awalnya dijaga dengan baik sehingga Januari tahun lalu apabila pemilik haiwan itu menghadapi beberapa masalah.
"Ini adalah kes yang sangat menyedihkan. Pemilik rumah juga telah memberitahu pasukan kami supaya mengosongkan rumah itu dengan segera apabila melihat keadaan kediaman itu," katanya sambil menambah pemilik rumah terbabit tinggal di Kuala Lumpur dan tidak tahu bahawa rumah berkenaan berada dalam keadaan sedemikian.
Sementara itu, Jeskiran turut merayu kepada orang ramai untuk membantu pusat perlindungan bagi menyediakan makanan dan merawat haiwan yang diselamatkan.
"Jumlah kos untuk 35 ekor anjing itu adalah sekitar RM9,500. Mohon bantu sokong misi menyelamat kami untuk haiwan ini," katanya.
Beliau berkata, kos untuk memandulkan 27 anjing betina yang dijumpai itu menelan belanja kira-kira RM4,680 betina dan bagi jantan pula adalah RM1,050.
Ujarnya sebanyak RM3,675 lagi diperlukan untuk menyediakan tiga vaksin bagi setiap kesemua 35 ekor anjing terbabit.
Kata beliau, sumbangan boleh disalurkan ke akaun pusat perlindungan 8009081090 (Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Furrykids Safehaven) di CIMB.
"Kami memerlukan sokongan anda kerana kami kekurangan kewangan. Kami juga mengalu-alukan sumbangan makanan haiwan ini," katanya.
Furrykids kini mempunyai lebih daripada 2,000 anjing di tempat perlindungannya yang terletak di Seremban.
Ketika dihubungi, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Kamarulrizal Mat Isa berkata, pihaknya sedang menyiasat kes itu.
“Saya telah menyemak dengan pasukan saya di Port Dickson, dan mereka tidak mengetahui kes itu kerana tiada aduan dibuat.
“Pegawai saya akan melawat rumah itu esok (16 April) untuk mendapatkan maklumat lanjut, dan kita akan mulakan tindakan dari situ,” katanya.
Dr Kamarulrizal berkata, tindakan boleh diambil terhadap pemiliknya di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 jika terdapat bukti menunjukkan kekejaman terhadap haiwan atau jika anjing dan kucing itu sengaja diabaikan. — The Star/SARBAN SINGH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram