POLIS mengesahkan mayat seorang wanita yang dilaporkan lemas di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan, Selangor pada Ahad telah ditemui pada tengah hari Isnin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat wanita tu pada pukul 12.17 tengah hari dekat Taman Lacattage, Putra Perdana.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui pada jarak 10 kilometer dari lokasi dilaporkan lemas.
“Pihak penyelamat telah menaikkan mayat dan jasad disahkan sendiri oleh suami mangsa.
“Bagaimanapun, anak bongsu yang terlibat dalam kejadian lemas ini masih belum ditemui dan usaha mencari masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Isnin.
Misi pencarian seorang kanak-kanak berusia empat tahun itu turut dibantu dengan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan baki mangsa.
“Pada Isnin, pasukan penyelamat dibahagikan kepada tiga pasukan. Ketiga-tiga pasukan penyelamat akan membuat pencarian dalam radius enam kilometer.
“Pasukan pencarian turut dibantu unit K9 bersama dua ekor anjing pengesan (Lady dan Cross) dalam misi pencarian ini,” katanya.
BACA LAGI: Penceramah bebas tolak tradisi beduk sahur, mufti tegaskan tak lawan hukum syarak
BACA LAGI: Buat untung atas angin, senang-senang upah melampau caj tukar duit raya RM10 setiap RM100
Terdahulu, wanita terbabit bersama suami serta tiga anak mereka berusia antara empat hingga 10 tahun sedang menjala ikan sebelum tiba-tiba air deras melanda sungai itu.
Dalam pada itu, bapa mangsa berusia 40 tahun membuat laporan mengenai isterinya dan tiga orang anaknya yang dihanyutkan deras.
Difahamkan, seorang kanak-kanak lelaki ditemui terselamat sekitar pukul 5 petang oleh orang awam.
Pada pukul 7.01 malam, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui maut kira-kira 1 kilometer daripada lokasi kejadian. — TheStar/JUSTIN ZACK
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram