PASANGAN suami isteri maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna MPV berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa dekat Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, keseluruhan mangsa adalah 10 orang.
"Dua mangsa meninggal dunia manakala lapan yang lain cedera. Tiga kanak-kanak iaitu dua kanak-kanak lelaki dan seorang bayi perempuan yang berada dalam kenderaan sama dinaiki pasangan itu cedera," katanya dalam satu kenyataan.
BACA LAGI: Lelaki selamba 'bungkus', bawa lari beg tangan dalam plastik hitam di Tawau
Kedua-dua mayat mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut. — Facebook
BACA LAGI: Dua anggota APMM cedera ditembak 3 penjenayah di perairan Kunak
Sabarodzi berkata, nahas itu membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Persona dan MPV Toyota Innova yang masing-masing dinaiki lima mangsa.
Katanya, individu yang menaiki Toyota Inova terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita.
"Setibanya di lokasi, kesemua mangsa sudah pun dikeluarkan dan anggota (bomba) membantu pihak perubatan menguruskan mangsa-mangsa itu.
"Mangsa-mangsa dihantar ke Hospital Gerik menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan, ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM," katanya.
Menurutnya, panggilan kecemasan diterima pukul 12.23 tengah hari dengan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram