'Kafir bukan istilah tunggal digunakan terhadap bukan Islam dalam al-Quran'


  • Massa
  • Ahad, 31 Mac 2024

Syeikh Yusuf dalam karangan bukunya berjudul Khitabuna Al-Islami fi ‘Asr al-‘Awlamah berkata, perbuatan tidak berbicara dengan pihak berbeza agama dengan panggilan 'wahai golongan kafir' adalah termasuk dalam satu dakwah secara berhikmah.

PADA Jumaat lalu, tular satu video di media memaparkan ucapan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyentuh isu kafir.

Dalam hantaran video tersebut, Fadhlina dalam ucapannya didakwa mengharamkan anak-anaknya untuk menggunakan perkataan kafir di rumah.

Perkongsian video dan poster yang diedit itu ternyata mendapat reaksi yang cukup meluas dalam kalangan warganet.

Pada masa sama, sesetengah daripada warganet juga seakan-akan tampil mempersoalkan pendirian Fadhlina dalam melakukan larangan terhadap penggunaan label tersebut.

Ini kerana menurut mereka, istilah tersebut sememangnya digunakan dan wujud dalam al-Quran untuk digunakan terhadap orang bukan Islam.

Bagaimanapun, mengulas mengenai perkara tersebut, penulis dan penterjemah, Marwan Bukhari berkata, isu penggunaan sebutan kafir atau bukan Islam yang timbul itu hanyalah isu dalam pemilihan penggunaan panggilan dalam kehidupan seharian.

Jelas beliau, dalam hal tersebut, tidak timbul langsung sebenarnya isu melarang daripada individu untuk memakai perkataan digunakan dalam al-Quran.

"Pihak yang menuduh sedemikian terang-terang sedang memanipulasi isu dan bersungguh-sungguh mahu menuduh lawannya meninggalkan ungkapan al-Quran.

"Padahal al-Quran sendiri tidak hanya menggunakan perkataan kafir dan sebanding dengannya seperti kafirun dan kuffar setiap kali merujuk kelompok bukan Muslim," tulisnya dalam hantaran di Facebooknya.

Menurut Marwan, penggunaan istilah selain daripada kafir bagi merujuk kepada orang bukan Islam dapat dilihat jelas cukup banyak di dalam al-Quran.

"...dalam al-Quran, ada ayat-ayat yang memanggil mereka sebagai 'wahai ahli kitab' dalam cukup banyak ayat seperti dalam surah Ali ‘Imran: 64, 65, 70, 71, 98 dan 99, dan surah al-Nisa’: 15, 19, 59, 68 dan 77.

"Selain itu, al-Quran juga mengandungi ayat yang berbicara kepada semua termasuk orang kafir dengan memanggil mereka 'wahai manusia'. Contohnya dalam surah al-Baqarah: 21, 168 dan 264, dan al-Nisa’: 1, 170 dan 174.

"Al-Quran juga memanggil secara umum termasuk bukan Muslim dengan sebutan 'wahai anak Adam' sebagaimana dalam surah al-A’raf: 26, 27, 31, 35 dan 172.

"Di sesetengah ayat, al-Quran merujuk kepada manusia termasuk bukan Muslim sebagai 'wahai para hamba-Ku' seperti dalam surah al-Zumar, ayat 53," ujarnya lagi.

Sementara itu, memetik pandangan daripada ulama tersohor, Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi, Marwan berkata, pakar rujukan Islam itu berkata, al-Quran tidak menggunakan perkataan 'wahai orang kafir' melainkan dalam dua ayat sahaja iaitu surah al-Tahrim, ayat 7 dan surah al-Kafirun.

Menurut beliau, penggunaan ungkapan tersebut dalam surah al-Tahrim ayat adalah dalam konteks bicara ALLAH kepada golongan kafir di akhirat.

Bagi perkataan 'wahai orang kafir' dalam surah al-Kafirun pula, ia ditujukan kepada golongan musyrik penyembah berhala yang sedang membuat tawaran kepada Rasulullah SAW untuk mereka menyembah berhala satu tahun dan kemudian menyembah Allah pada tahun lain.

Dalam menggambarkan peristiwa tersebut, beliau berkata, Surah al-Kafirun mahu menolak tawaran ini dengan gaya bahasa yang tegas dan arahan yang nyata tanpa sebarang kompromi.

"Lantas, baginda diperintahkan agar berbicara kepada mereka dengan muktamad termasuk dengan mengulang dan mempertegas.

"Meskipun begitu, surah ini tetap diakhiri dengan ayat yang membuka pintu toleransi kepada bukan Muslim iaitu 'Bagi kamu agamamu, bagiku agamaku',” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Marwan berkata, tindakan tidak menggunakan istilah kafir terhadap bukan Islam tidak membawa erti bahawa tindakan itu dilakukan kerana mengalah atau untuk menjaga hati penganut agama lain.

Malah ujarnya, Syeikh Yusuf dalam karangan bukunya berjudul Khitabuna Al-Islami fi ‘Asr al-‘Awlamah berkata, perbuatan tidak berbicara dengan pihak berbeza agama dengan panggilan 'wahai golongan kafir' adalah termasuk dalam satu dakwah secara berhikmah.

BACA LAGI: Video tular diambil di luar konteks, cubaan calar imej — Fadhlina

Interview session with Education Minister Fadhlina Sidek for Teacher’s Day in her office at Putrajaya. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Fadhlina dilaporkan menerima ugutan daripada warga maya susulan dakwaan beliau mengharamkan anak-anak menggunakan perkataan kafir di rumah.

Dalam karangan tersebut, Syeikh Yusuf berkata:

"Saya tidak faham mengapa bentuk ucapan yang sopan santun begini dianggap sebagai “mengalah” dari pihak kita? Apa sebenarnya yang kita telah mengalah? Kita tidak sesekali mengalah dari segi iktikad bahawa agama kita adalah agama yang benar dan selainnya adalah batil. Kita juga tidak mengalah dari pegangan kita bahawasanya mereka yang tidak beriman dengan risalah Baginda Nabi Muhammad SAW adalah kafir.

"Inilah pegangan golongan beragama yang meyakini bahawa agamanya adalah benar, manakala selainnya adalah batil. Tidak sempurna iman seseorang melainkan dengan keyakinan ini.

"Namun demikian, berbicara dengan pihak yang berbeza agama dengan kita dengan panggilan yang menyakiti mereka, mencederakan perasaan mereka atau menjauhkan mereka dari agama ALLAH adalah satu isu yang berbeza. ALLAH SWT tidak menuntut pun kita untuk berbicara sedemikian, sebaliknya ALLAH SWT mengarahkan kita dengan arahan yang sepenuhnya berbeza."

BACA LAGI: Haram guna perkataan kafir: Fadhlina Sidek buat laporan polis terhadap 2 pengendali akaun Facebook

Susulan daripada penyebaran video berkenaan, Fadhlina pada Sabtu dilaporkan sudah membuat laporan polis terhadap dua individu di sebalik akaun Facebook yang menularkan klip tersebut.

Fadhlina dilaporkan menerima ugutan daripada warga maya susulan dakwaan beliau mengharamkan anak-anak menggunakan perkataan kafir di rumah.

Dalam pada itu, beliau dalam kenyataan terbaharunya itu menyifatkan isu berkenaan diambil di luar konsensus dan diselewengkan daripada konteks asal dengan cubaan jahat mahu mencalarkan imej serta dan kredibiliti beliau.

Ujarnya, penularan video itu turut berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi raja) dengan memercikkan pemesongan makna ucapan sebenar sehingga beliau ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar dan fitnah selain diancam keselamatan.

Menjelaskan mengenai video itu, Fadhlina memberitahu bahawa video tular itu adalah keratan yang diambil daripada pertemuan tertutup beliau dengan kumpulan tertentu, yang telah dirakam dan ditularkan dengan tafsiran di luar konteks untuk mencipta polemik dan bersifat fitnah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram