Menjelang Aidilfitri, pemilik si bulus lebih suka upah pet sitter berbanding hantar ke 'cat boarding' sebab murah


  • Massa
  • Sabtu, 30 Mac 2024

Lebih ramai memilih pet sitter kerana harganya lebih berpatutan berbanding hotel kucing sempena cuti Hari Raya Aidilfitri yang panjang. — Gambar Hiasan

MENINGGALKAN haiwan peliharaan untuk satu tempoh yang lama sama ada bercuti, memenuhi tuntutan kerja atau kecemasan antara dilema yang sering dihadapi setiap pemilik kucing terutamanya ketika Aidilfitri.

Walaupun mempunyai pilihan untuk menempatkan kucing di khidmat hotel kucing (cat boarding), namun bukan semua pemilik haiwan mampu berbuat demikian berikutan kos tinggi selain jauh dan jumlah kucing yang banyak.

Apatah lagi dengan keadaan ekonomi sekarang, sudah pasti ramai yang ingin menjimatkan kos dan pada masa sama tidak mengabaikan keperluan haiwan kesayangan mereka.

WhatsApp Image 2024-03-29 at 6.06.11 PM

Azleen (kanan) bersama suaminya lebih selesa mengupah pet sitter untuk menjaga kucing mereka di rumah.

Hasil tinjauan Majoriti, lebih ramai memilih 'pet sitter' atau penjaga haiwan peliharaan kerana harganya lebih berpatutan sempena cuti Hari Raya Aidilfitri yang panjang.

Bagi seorang pekerja swasta Azleen Nuria berkata, bagi tahun ini, dia memilih khidmat pet sitter bagi mengelakkan kucingnya stres jika berada di tempat baru.

Dia yang memiliki beberapa ekor kucing lebih selesa sekiranya haiwan peliharaannya itu ditinggalkan di rumah.

Katanya, dia tidak mahu mengambil risiko meninggalkan kucing kesayangan di tempat asing dan bercampur dengan kucing yang lain.

"Kalau tinggalkan di rumah senang, sekurang-kurangnya kita tahu makanan yang disediakan untuk kucing daripada produk berkualiti yang saya beli sendiri," katanya pada Majoriti.

Jelas Azleen lagi yang bekerja di Kuala Lumpur, untuk tahun ini dia hanya membelanjakan sebanyak Rm400 upah bayaran bagi pet sitter selama lima hari.

"Murah dan berbaloi, dari segi isu keselamatan dia (pet sitter) akan datang dua kali sehari ke rumah untuk menguruskan si bulus," katanya.

WhatsApp Image 2024-03-29 at 10.00.27 PM

Iylia Ayuni turut memilih menggunakan perkhidmatan pet sitter ekoran daripada harga khidmat hotel kucing yang semakin meningkat.

Sementara itu, seorang lagi pemilik kucing, Iylia Ayuni turut memilih menggunakan perkhidmatan pet sitter ekoran daripada harga khidmat hotel kucing yang semakin meningkat.

"Sudah tak mampu dah nak hantar hotel, semakin mahal. Ini tak termasuk kos rawatan kalau kucing-kucing saya tiba sakit. Kalau hotel sehari kena bayar sekurang-kurangnya RM50 hingga ke RM80 seekor kucing, tak berbaloi rasanya.

"Elok biarkan mereka di rumah sahaja, lagipun rumah sudah ada kamera televisyen tertutup (CCTV) senang nak pantau pet sitter dan anak-anak (kucing) di rumah.

"Lagipun murah berbanding nak hantar ke hotel sekarang ini. Lagipun, bukan semua hotel kucing ini elok. Dalam gambar memang cantik tapi realiti teruk.

"Saya juga trauma nak tinggalkan kucing lama-lama dekat sana sebab kita tak tahu kucing orang lain macam mana, takut sakit," katanya.

WhatsApp Image 2024-03-29 at 9.42.58 PM

Pet sitter sambilan, Roziana Ganis.

Dalam perkembangan lain, seorang pet sitter sambilan, Roziana Ganis mengakui permintaan dari pelanggan untuk menjaga kucing sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini meningkat.

"Saya terima permintaan yang banyak tahun ini dan ada yang saya terpaksa tolak secara baik memandangkan khidmat yang ditawarkan bukan sekadar menjaga makan minum kucing sebaliknya haiwan itu perlu penjagaan rapi sepanjang ditinggalkan.

"Saya ambil upah harian bermula RM30 hingga ke RM50 sehari bergantung kepada berapa banyak kucing yang saya jaga.

"Namun jujur saya cakap ia bukanlah tugas yang mudah, ia tetap memerlukan tanggungjawab tinggi, memberi perhatian penuh dan perkhidmatan yang memuaskan kerana membabitkan haiwan peliharaan yang disayangi pelanggan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram