POLIS California berjaya menahan seorang lelaki yang didakwa bertindak seperti zombie dengan melarikan kaki seorang mangsa kemalangan yang dilanggar kereta api di di Stesen Amtrak Wasco, California pada Jumaat lalu.
Lebih mengerikan lagi, suspek Resendo Tellez, 27, bertindak memakan kaki mangsa ibarat meratah paha ayam.
Kejadian itu turut dilihat beberapa pekerja pembinaan di lokasi kejadian.
Memetik laporan media antarabangsa, kaki yang terputus itu dipercayai milik mangsa yang dilanggar kereta api dalam kejadian di Stesen Amtrak di blok 700 G Street di Wasco.
Seorang pekerja pembinaan, Jose Ibarra berkata, kejadian ngeri itu berlaku ketika mereka sedang meletakkan konkrit di kawasan berkenaan.
"Saya tidak pasti dari mana, tetapi dia berjalan ke sini dan dia mengayun kaki seseorang.
"Dia mula mengunyah (kaki itu), menggigit sebelum memukul kaki itu ke dinding.
"Di bahagian kaki, (ada) kulit (yang) tergantung. Anda boleh melihat tulang pada kaki yang terputus itu," katanya.
California resident Resendo Tellez was recently arrested for allegedly eating a severed leg that he took from a pedestrian who was struck by a train. pic.twitter.com/VCHiuEuOdr
— Morbid Knowledge (@Morbidful) March 25, 2024
Video ngeri menunjukkan Tellez, dipercayai gelandangan, melakukan perkara berkenaan.
Pegawai dari Pejabat Syerif Daerah Kern mengesahkan Tellez ditangkap selepas polis mengambil keterangannya dan melakukan siasatan di tempat kejadian.
Semakan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan beberapa waran.
Pasukan itu belum lagi mengesahkan milik siapa kaki itu atau mangsa yang cedera dalam nahas kereta api itu, namun dilaporkan seorang individu terbunuh. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram